Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengendali makanan tidak diwajib pakai pelitup mulai 1 Jan

Dec 4, 2025 | 7:24 PM
SFA, pelitup, pengendali makanan
Peraturan untuk memakai pelitup, atau ‘spit guard’ diperkenalkan sejak April 2020, semasa pandemik Covid-19, untuk mengelakkan sebarang cecair yang keluar dari mulut atau hidung daripada mencemari makanan. - Foto ST

Pengendali makanan tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka atau pelindung percikan cecair (spit guard) mulai 1 Januari, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada 4 Disember.

Ia diperkenalkan sejak April 2020, ketika pandemik Covid-19, bagi mengelakkan sebarang bahan atau cecair yang keluar daripada mulut atau hidung daripada mencemari makanan.

Peraturan itu sebelum ini dikenakan kepada semua petugas yang terlibat dalam penjualan dan penyediaan makanan dan minuman di semua premis makanan.

Namun dalam kenyataannya, SFA berkata pencemaran makanan kebanyakannya berpunca daripada tahap kebersihan yang tidak memadai, pengendalian makanan yang lemah, pengurusan suhu yang tidak betul, serta sentuhan antara makanan mentah dan hidangan siap dimakan (RTE).

Agensi itu menambah bahawa berdasarkan penilaian mereka, risiko keselamatan makanan adalah rendah walaupun pengendali tidak memakai pelitup muka atau pelindung percikan cecair, lapor The Straits Times (ST).

Namun, SFA menegaskan bahawa premis makanan perlu terus mengamalkan amalan keselamatan makanan yang baik.

Ini termasuk pengendalian makanan yang betul, kawalan masa dan suhu, pembersihan menyeluruh dan amalan penyelenggaraan yang baik.

Singapura telah mencatatkan beberapa kes keracunan makanan berprofil tinggi pada 2025.

Pada Februari, sebanyak 187 kes gastroenteritis, yang lebih dikenali sebagai keracunan makanan, dilaporkan selepas pengambilan makanan RTE yang diedarkan semasa latihan Hari Pertahanan Mutlak. 

Pihak berkuasa berkata tiada bukti kukuh yang mengaitkan 187 kes itu dengan makanan RTE berkenaan.

Setakat 21 November, 173 murid dan 12 kakitangan daripada enam prasekolah E-Bridge mengalami simptom gastroenteritis, termasuk muntah dan cirit-birit, selepas memakan makanan yang dibekalkan oleh Middleton International School.

EtonHouse International Education Group, yang mengendalikan prasekolah E-Bridge, berkata pada 24 November keputusan awal daripada ujian makanan dari dapur pusat menunjukkan tiada tanda pencemaran.

Namun pakar menegaskan bahawa penemuan itu tidak boleh dianggap muktamad.

SFA berkata pengendali makanan digalakkan untuk memakai pelitup muka atau pelindung percikan cecair sebagai amalan baik.

SFA berkata penarikan balik peraturan itu adalah sebahagian daripada semakan berkala untuk memastikan peraturan keselamatan makanan kekal relevan.

Timbalan ketua eksekutif SFA, Dr Tan Lee Kim, berkata agensi itu sentiasa menilai semula dasar-dasarnya bagi memastikan ia terus sesuai dengan keadaan semasa.

Beliau juga berkata SFA mengambil kira maklum balas industri, namun dasar keselamatan makanan tetap berpandukan sains dan bukti.

Dr Tan berkata: “Walaupun pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan bagi pengendali makanan, SFA terus menggalakkan mereka memakainya sebagai amalan keselamatan makanan yang baik.”

“Pelitup muka dan pelindung percikan cecair juga mesti digunakan dengan betul kerana ia boleh menjadi punca pencemaran jika tidak digunakan dengan betul.”

SFA menegaskan keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama, dan industri serta pengguna juga perlu memainkan peranan masing-masing.

Pada masa yang sama, SFA akan terus memantau dan menguatkuasakan peraturan untuk memastikan keselamatan makanan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg