Keputusan awal ujian makanan daripada dapur pusat bagi enam prasekolah E-Bridge yang melaporkan 185 kes jangkitan gastroenteritis, atau radang perut dan usus, menunjukkan makanan itu tidak tercemar.
Membalas pertanyaan The Straits Times (ST), EtonHouse International Education Group, yang mengendalikan E-Bridge berkata:
“Pada peringkat ini, tiada kaitan dikenal pasti antara dapur pusat dengan kes-kes yang dilaporkan.”
Menurut EtonHouse, yang mengendalikan 31 pusat E-Bridge di Singapura, dapur pusat tersebut telah menghantar ujian contoh makanan yang dibekalkan untuk ujian mikrobiologi di Merieux NutriSciences AQ (Singapore) Lab.
Ujian itu dijalankan secara bebas daripada ujian yang sedang dijalankan oleh Agensi Makanan Singapura (SFA), menurut ST.
Keputusan awal daripada ujian yang dimulakan oleh EtonHouse, yang meliputi enam jenis bakteria biasa yang ditemui dalam makanan tercemar, menunjukkan makanan tersebut tidak tercemar, tambah pengendali itu.
Dapur pusat di 2 Tampines Street 93 terletak di Middleton International School dan turut membekalkan makanan kepada sekolah itu.
Ia menyediakan hidangan kepada 13 pusat E-Bridge dan empat pusat EtonHouse, kata EtonHouse sambil menambah “dapur pusat tersebut mempunyai lesen pengendali makanan yang dikeluarkan oleh SFA”.
Tiada kes gastroenteritis dilaporkan dalam kalangan pelajar atau kakitangan di Middleton International School, kata EtonHouse.
Setakat 21 November, 173 murid dan 12 pekerja daripada prasekolah E-Bridge telah melaporkan gejala gastroenteritis.
Ini selepas mereka memakan makanan yang dibekalkan oleh Middleton International School, menurut kenyataan media bersama oleh Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) dan SFA.
Seorang murid dimasukkan ke hospital dan berada dalam keadaan stabil, manakala yang lain mendapatkan rawatan pesakit luar, mengambil ubat sendiri, atau pulih tanpa rawatan, kata agensi berkenaan.
Enam pusat E-Bridge yang terjejas terletak di Bukit Panjang, Canberra, Montreal, Woodlands Drive dan dua lagi di Yishun.
Sebagai langkah berjaga-jaga, sebuah pengendali makanan berlesen SFA dilantik pada 21 November untuk menyediakan makanan kepada pusat yang terjejas, kata EtonHouse.
“Kami kekal berpegang pada ketelusan dan akan terus memaklumkan keluarga serta masyarakat sebaik sahaja mendapat maklumat terkini.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg