Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Caj pelancong hingga $300 dari KL-S’pura: 21 teksi haram ditahan JPJ

Sep 13, 2024 | 3:10 PM
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli (tengah), menunjukkan antara kereta mewah yang dijadikan sebagai teksi haram dan dirampas JPJ dalam Operasi Kenderaan Sapu di Lembah Klang, pada awal September.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli (tengah), menunjukkan antara kereta mewah yang dijadikan sebagai teksi haram dan dirampas JPJ dalam Operasi Kenderaan Sapu di Lembah Klang, pada awal September. - Foto UTUSAN MALAYSIA

SHAH ALAM (Selangor): Segelintir khidmat teksi haram atau dikenali sebagai ‘prebet sapu’ di Malaysia dikesan mengenakan caj melampau sehingga mencecah RM1,000 ($300) terutama kepada pelancong asing bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura.

Kegiatan yang menyasarkan pelancong asing di sekitar Lembah Klang itu lumpuh selepas 21 kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah digunakan pemandu warga Malaysia yang menawarkan perkhidmatan itu digempur Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Kenderaan Sapu bermula 2 hingga 6 September.

Pemandu terlibat dikesan menjadikan lokasi hotel lima bintang dan kawasan pelancongan sebagai sasaran mereka.

Lebih membimbangkan, teksi haram mewah itu tidak mempunyai insurans dan boleh membahayakan penumpang jika kejadian tidak diingini berlaku.

Sepanjang serbuan khas itu, sebanyak 45 notis saman dikeluarkan ke atas kenderaan swasta mewah ber­kenaan yang antaranya melibatkan kereta Hyundai Starex dan Staria selain Toyota Alphard serta Innova.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata operasi itu dijalankan hasil aduan awam dan risikan pihaknya mengenai kegiatan yang mencemar imej Malaysia dalam kalangan pelancong asing.

Menurutnya, golongan yang turut digelar ‘ulat teksi sapu’ yang mengenakan caj harga ‘cekik darah’ itu dikesan menggunakan aplikasi khas dan khidmat bagi kegiatan haram tersebut.

“Rata-rata teksi haram yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 30-an tahun yang menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) iaitu kenderaan Persendirian dijadikan sebagai Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA).

“Mereka menggunakan MPV mewah dengan mengenakan caj tinggi bergantung jarak perjalanan.

“Ada yang ditahan mengenakan caj sehingga $300 (RM997.17) bagi Kuala Lumpur ke Singapura berbanding caj biasa hanya RM300,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Jelas Datuk Aedy Fadly lagi, pihaknya sebelum ini lebih menumpukan pada kawasan lapangan terbang utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 dan 2 (KLIA 1 dan KLIA 2), selain terminal bas dan jeti.

“Selepas menerima aduan mengenai teksi haram ini, kita akan mengatur gerak kerja dengan mendapatkan kerjasama termasuk dari persatuan pelancong.

“Kita juga akan memperluas operasi penguatkuasaan di serata negara, namun menjalankannya secara cermat bagi mengelak ia menggugat industri pelancongan negara,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg