Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengendali program amal makanan turut terkesan kenaikan kos operasi
Pengendali program amal makanan turut terkesan kenaikan kos operasi
Kenaikan harga minyak sejak konflik Timur Tengah, sekatan Selat Hormuz jejas kos operasi manakala jumlah benefisiari yang tampil mohon bantuan kian bertambah
Pengendali program amal makanan turut terkesan kenaikan kos operasi
Kumpulan kebajikan dan badan bukan mencari untung (NPO) yang menjalankan program makanan kini bersiap sedia menanggung perbelanjaan lebih tinggi, susualan lonjakan ketara kos pengangkutan dan bahan api.
Beberapa NPO dan kumpulan yang dihubungi Berita Harian (BH) menjangkakan kenaikan harga minyak mentah yang melonjak sejak konflik Timur Tengah dan sekatan Selat Hormuz pada hujung Februari akan memberi tekanan pada kos operasi mereka.
Setakat 22 Mei, harga penanda aras minyak mentah Brent dunia melonjak sekitar 50 peratus, meningkat daripada AS$72 ($92) setong pada hujung Februari kepada lebih AS$100 setong berikutan konflik yang tercetus, berdasarkan laman web maklumat kewangan, MarketWatch.
Food Bank Singapura (FBSG), salah satu bank makanan terbesar Singapura, mendapati ketegangan geopolitik dan inflasi semasa telah melonjakkan kos pengangkutan, penyimpanan dan tenaga kerja.
Pengarah Eksekutif FBSG, Dr Arthur Chin, menegaskan:
“Gangguan rantaian bekalan dan peningkatan harga bahan api telah meningkatkan kos pengumpulan serta pengagihan makanan; dalam masa yang sama, kos sewa dan tenaga kerja terus membebankan.”
Menurutnya, kesan sebenar gangguan geopolitik terhadap makanan lumrahnya tidak dirasakan serta-merta tetapi dalam tempoh lebih lama dan buat masa ini, ia terus menyediakan sokongan bantuan makanan kepada rakan kongsi seperti biasa.
Sentimen itu turut dikongsi badan amal Pertapis, yang membantu golongan kurang berkemampuan dengan sokongan makanan dan keperluan bulanan di bawah program Tabung Amal Jariah (TAJ) Pertapis.
Jurucakap badan amal itu berkata kesan konflik terhadap kos operasi, khususnya dari segi logistik dan pengangkutan, adalah minimal kerana ia bergantung pada aturan pengangkutan dalaman dan penghantaran menerusi sukarelawan sebagai kaedah mengimbangi kos.
Ini di samping pengagihan yang cekap dan kemudahan dalaman untuk menyimpan dan mengurus sumbangan makanan.
Beliau berkata: “Oleh kerana kami menggunakan khidmat pengangkutan kami sendiri, Pertapis dapat menampung sebarang peningkatan kos berkaitan pengangkutan.
“Namun, kami tidak pasti sama ada akan dapat berbuat demikian pada masa hadapan jika kos ini terus meningkat.”
Ini turut menjadi keprihatinan penasihat badan amal setempat yang menaja makanan sedia makan Free Food for All (FFFA), Encik Shaik Mohamed Ammar Nizar.
Ditubuhkan pada 2014 oleh bapanya yang juga pengasas FFFA, Allahyarham Nizar Mohd Shariff, badan amal itu telah menjangkau lebih 250,000 penerima bantuan setakat ini, menukil laman rasmi badan tersebut.
Beliau akur peningkatan kos pengangkutan dan logistik “mengurangkan keupayaannya untuk berkhidmat kepada lebih ramai orang yang boleh diberi makanan”.
Badan itu belum melihat sebarang kesan ketara terhadap sumbangan kewangan dan makanan daripada penyumbang sepanjang tempoh sejak konflik Timur Tengah tercetus, tambahnya.
Sungguhpun begitu, konflik itu dapat mempengaruhi tabiat penyumbang mahupun isi rumah yang juga terkesan dengan kenaikan harga minyak.
Sekurang-kurangnya tiga NPO atau kumpulan kebajikan yang dihubungi BH mengatakan terdapat peningkatan pada bilangan keluarga yang tampil meminta sokongan bantuan makanan.
Antaranya adalah SmilesSalamSG, kumpulan yang ditubuhkan pada Ogos 2020 dan tertumpu pada usaha pengagihan dan pengumpulan makanan bagi golongan kurang berkemampuan – khususnya di kawasan Bedok dan Yishun – menerusi inisiatif reruai barangan runcit.
Ia juga mengendalikan peti sejuk masyarakat di Blok 101, Bedok North Avenue 4, dengan makanan di dalam peti sejuk ditokok oleh sukarelawan setiap minggu.
Pengasasnya, Cik Azlina Ahmad, berkata bilangan penerima sumbangan menyaksikan peningkatan sekitar 20 peratus pada 2026 berbanding 2025, namun tidak dapat memberikan perangkaan terperinci.
Memberi contoh reruai barangan runcit yang diadakan semasa Ramadan pada Mac di Yishun dan Bedok, beliau mendapati ada peningkatan pada jumlah isi rumah yang menghubungi pasukannya untuk menyertai inisiatif itu.
Secara umumnya, terdapat sekitar 100 isi rumah yang menyertai rerurai barangan runcit di kedua-dua Yishun dan Bedok pada bulan-bulan sebelum Mac, ujar beliau.
Namun pada Mac iaitu selepas tercetusnya konflik, Cik Azlina mendapati sekitar 140 isi rumah tampil meminta bantuan di Yishun dan bagi Bedok pula, jumlahnya lebih daripada 100.
“Saya dapat lihat bahawa terdapat peningkatan pada kos barangan runcit – walaupun ada bantuan atau subsidi yang diberikan pemerintah yang dapat digunakan isi rumah bagi mengimbangi perbelanjaan.
“Namun, harga barangan (bagi sesetengah isi rumah) masih tinggi dan lumrah untuk melihat lebih banyak isi rumah yang tampil meminta bantuan (daripada kami),” katanya.
Peningkatan itu turut disaksikan Encik Asanul Fariq Sani sekeluarga, yang mengurus ruang infak Sudut Kebaikan Riqmah di depan rumah mereka di Blok 268, Tampines Street 21, sejak 2021.
Sudut yang menyerupai ‘kedai runcit’ itu menyediakan barang keperluan dapur seperti beras, teh, kopi, biskut, sardin dalam tin dan mi segera.
Encik Asanul Fariq berkata Januari dan Februari masing-masing menyaksikan 120 hingga 150 isi rumah tampil meminta barang keperluan dapur – konsisten dengan bulan-bulan sebelum ini.
Namun pada Mac, jumlah ini melonjak kepada 350 isi rumah manakala pada April, jumlahnya adalah hampir 200.
Beliau akur walaupun Mac 2026 bertepatan dengan bulan puasa, yang biasanya melihat lebih banyak sumbangan dari segi kewangan dan makanan, lebih ramai isi rumah tampil untuk meminta habuan atau barang keperluan dapur.
“Sungguhpun saya sasarkan untuk mengagihkan 350 pek barangan keperluan pada Ramadan, ramai daripada kalangan penerima yang tampil merupakan penerima baru.
“Malah sejak awal Mac hingga kini, saya dapat katakan bahawa lebih ramai yang memohon bantuan untuk dapatkan barang keperluan dapur,” ujarnya.
Bagi mengawal dan menjejak isi rumah yang benar-benar memerlukan sokongan bantuan makanan, bakal penerima harus menghubunginya terlebih dahulu agar beliau dapat menyemak keadaan mereka dan memberikan bantuan paling sesuai.
Ini dilakukan selepas kos perbelanjaannya bagi mengekalkan sudut infak itu kian meningkat dengan bertambahnya jumlah isi rumah yang inginkan bantuan, ujar pengendali gerai kantin sekolah rendah itu.
Beliau memberi contoh kos perbelanjaan bulanan yang diketepikan bagi tujuan infak itu, yang menelan belanja lebih kurang $2,000 pada bulan-bulan biasa.
Namun sejak tercetusnya konflik Timur Tengah dan kenaikan harga minyak mentah, sekali gus menjejas harga barangan, beliau perlu membelanjakan sekitar $2,500 hingga $2,800 pada Mac dan April.
