Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin akan mengambil alih jawatan Pengerusi Masjid Khalid bagi menggantikan pengerusinya yang terdahulu, Allahyarham Alla’udin Mohamed.
Sebelum ini, Dr Ariffin telah berkhidmat sebagai Naib Pengerusi Masjid Khalid sejak April 2019.
Mengumumkan pelantikan Dr Ariffin dalam satu hantaran di Facebook pada 4 Disember, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen Mohamed, berkata:
“Dalam kita maju ke hadapan sambil menghormati masa lalu, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin akan menjawat jawatan sebagai Pengerusi Masjid Khalid.
“Keputusan ini dibuat selepas perundingan antara Muis dengan Lembaga Pengurusan Masjid.”
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Dr Ariffin telah bekerja rapat dengan Allahyarham Alla’udin, yang telah membimbing dan memberinya peluang untuk menyelia aspek pentadbiran dan operasi utama masjid.
Kini, beliau akan mengambil alih jawatan yang telah diterajui Allahyarham selama 30 tahun.
Dalam hantaran yang sama, Encik Kadir menambah bahawa Dr Ariffin dan Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) telah menyatakan komitmen mereka untuk menghormati Allahyarham.
Mereka turut melahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan keluarga Allahyarham dan rakan kongsi masyarakat untuk mengekalkan asas kukuh yang telah dibangunkan, meneruskan usaha baik yang memberi manfaat kepada masyarakat dan Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg