Allahyarham Alla’udin Mohamed merupakan sumber kekuatan dan inspirasi dalam membina ikatan antara agama dan kaum.
Allahyarham telah menjalin hubungan yang bermakna dengan pelbagai kumpulan agama dan telah bekerja keras untuk berkhidmat kepada masyarakat secara usaha sama.
Menyatakan demikian dalam catatan Facebook beliau sebagai penghargaan kepada Allahyarham Alla’udin pada 15 November, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K.Shanmugam berkata usaha Allahyarham untuk memupuk perpaduan sosial meninggalkan kesan yang mendalam ke atas masyarakat Geylang Serai dan selanjutnya.
Allahyarham Alla’udin, meninggal dunia pada usia 71 tahun pada 14 November sehari selepas dimasukkan ke hospital akibat pendarahan otak.
Dalam catatan tersebut, Encik Shanmugam memuji kepimpinan luar biasa Allahyaram, terutamanya selepas lebih daripada 25 tahun berkhidmat sebagai pengerusi Masjid Khalid.
“Kepimpinannya yang merendah hati dan tidak mementingkan diri telah menyentuh banyak jiwa.
“Saya akan mengenangnya dengan penuh kasih sayang, terutamanya layanan baik beliau yang mesra, khususnya beriani dam khusus disediakannya sendiri, dengan penuh kasih dan perhatian,” kongsi Encik Shanmugam.
Selain sumbangannya kepada masjid, Encik Shanmugam berkongsi penglibatan Allahyarham dalam menyokong keharmonian kaum dan agama turut dipuji.
Allahyarham telah memimpin Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Geylang Serai sejak 2002 dan kemudiannya berkhidmat sebagai Naib Pengerusi dan Pengerusi IRCC mulai 2018.
Pendekatan usaha sama beliau dalam mengeratkan hubungan antara pelbagai agama dan masyarakat telah mendorong beliau menerima Anugerah Pingat Perkhidmatan Awam pada 2014.
Pada 30 Oktober, Allahyarham terlibat dalam acara Derma Darah Antara Agama yang diadakan bersama oleh masjid, gereja, kuil serta persatuan suku kaum, yang turut dihadiri Encik K. Shanmugam.
Selain terkenal kerana beriani amal yang dijalankan masjid itu, Allahyarham juga merupakan pengerusi Khidmat Kaunseling Muslim (MCS) dan membuka ruang masjid kepada bekas banduan bagi kelas agama.
Encik Shanmugam meluahkan kesedihan peribadinya atas pemergian Allahyarham, dengan menyatakan bahawa kehadiran Allahyarham Alla’udin akan amat dirindui oleh semua yang mengenalinya.
“Kebaikan dan dedikasinya terhadap perpaduan sosial telah mengeratkan hubungan dalam masyarakat pelbagai budaya kita,” kata beliau.
Encik Shanmugam mengakhiri penghargaannya dengan mengucapkan takziah mendalam kepada keluarga, sahabat, dan orang tersayang Allahyarham, sambil menggalakkan semua untuk meneruskan usaha beliau dalam mempromosikan keamanan serta perpaduan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg