Mulai 1 Disember, Pengerusi Lembaga Taman Negara (NParks), Encik Loh Khum Yean, akan turut berkhidmat sebagai Pengerusi Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA).
Dalam satu kenyataan media pada 17 November, Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan bahawa Encik Loh, 60 tahun, akan menggantikan Encik Niam Chiang Meng, yang menerajui MPA sejak 16 Disember 2016.
Encik Loh kini merupakan Timbalan Pengerusi MPA sejak 1 Februari.
Beliau mempunyai kerjaya sektor awam selama lebih tiga dekad, termasuk sebagai Setiausaha Tetap Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Setiausaha Tetap bagi Undang-undang, sebelum bersara pada 1 Oktober 2023.
Sebelum itu, Encik Loh memegang pelbagai jawatan setiausaha tetap lain, termasuk dalam perdagangan dan perindustrian, pernah menjadi Pengerusi Kolej Perkhidmatan Awam (CSC), serta menjadi ahli lembaga beberapa badan berkanun.
Menurut MOT, pengalaman luas Encik Loh akan memperkukuh keupayaan MPA dan menyokong usaha meningkatkan kedudukan Singapura sebagai hab pelabuhan yang dipercayai dan pusat maritim antarabangsa.
Menyatakan penghargaan kepada Encik Niam, kementerian itu berkata tokoh berusia 67 tahun tersebut telah berkhidmat lebih sembilan tahun dalam MPA, selepas kali pertama dilantik sebagai timbalan pengerusi pada 1 Julai 2016.
Sepanjang tempoh kepimpinannya, MPA mengharungi perubahan pesat akibat ketegangan perdagangan dan politik antarabangsa, peralihan teknologi serta pandemik Covid-19.
Di bawah teraju beliau, pelabuhan Singapura kekal sebagai antara pelabuhan paling sibuk di dunia, berada dalam kedudukan lima teratas pendaftaran kapal sedunia dan terus menjadi hab bunkering utama.
Menurut laman web MPA, bunkering adalah proses membekalkan bahan api kepada kapal bagi penggunaan kapal itu sendiri.
Singapura merupakan salah sebuah pelabuhan bunker terbesar dan paling penting di dunia.
Encik Niam turut mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai pusat pelabuhan antarabangsa dan memajukan pembangunan tenaga kerja dengan kerjasama industri dan kesatuan.
Pada 2018, Singapura dipilih buat kali pertama ke Majlis Persatuan Bantuan Laut Antarabangsa kepada Pihak Berkuasa Navigasi dan Rumah Api (IALA).
IALA merupakan badan sejagat yang membangunkan piawaian, saranan dan garis panduan mengenai bantuan navigasi maritim, perkhidmatan trafik kapal dan e-kemudi.
Pada Februari 2025, Singapura menjadi tuan rumah perhimpunan agung pertamanya sejak badan itu menjadi sebuah organisasi antara pemerintah pada Ogos 2024.
Sepanjang tempoh ia menyandang jawatan tersebut, Singapura turut dipilih semula empat kali berturut-turut ke majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), dengan setiap penggal sepanjang dua tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg