Pelabuhan Singapura telah dinobatkan sebagai ‘Pelabuhan Terbaik Global’ dan ‘Pelabuhan Terbaik di Asia’ dalam Anugerah Kargo, Logistik dan Rantaian Bekalan Asia (AFLAS) yang diadakan di Hong Kong pada 3 September.
Ini merupakan kali keempat Singapura meraih anugerah bagi pelabuhan global, dan kali ke-37 ia dianugerahkan gelaran pelabuhan terbaik Asia, menurut pihak Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA) Singapura dalam satu kenyataan pada 3 September, lapor The Straits Times (ST).
“Anugerah ini mencerminkan usaha bersama semua pihak yang terlibat dalam industri kita, rakan antarabangsa, masyarakat penyelidikan dan kesatuan pekerja,” kata Ketua Eksekutif MPA, Encik Ang Wee Keong.
“Kami kekal komited untuk membangunkan Singapura sebagai pelabuhan hab global dan pusat kelautan antarabangsa. Singapura akan terus berusaha menjadi pelabuhan pilihan utama,” katanya.
Anugerah itu dianjurkan setiap tahun oleh penerbitan kargo dan logistik Asia Cargo News yang mengiktiraf penyedia khidmat logistik dan rantaian bekalan terkemuka atas kecemerlangan perkhidmatan, inovasi dan kebolehpercayaan.
Pemenang ditentukan oleh lebih 15,000 pembaca penerbitan tersebut yang mencalonkan dan mengundi syarikat dalam pelbagai sektor.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg