Pengasas yang juga pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock, telah membayangkan beliau berhasrat bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, lapor The Straits Times.
Ketika ditanya selepas satu lawatan menemui penduduk di Clementi pada 23 Februari apakah beliau akan bertanding dalam pilihan raya yang harus diadakan sebelum November, Dr Tan berkata: “Selagi saya mampu dan saya masih relevan, saya akan sentiasa ada.”
Ditanya sekali lagi apakah beliau akan berada di pusat penamaan calon sebelum pilihan raya, beliau tidak mengesahkan pencalonannya, tetapi berkata: “Itu mesti menjadi kesimpulan semula jadi, bukan?
“Saya fikir selagi saya relevan dan saya rasa saya boleh menyumbang kepada negara, saya tidak boleh mengelak daripada menyahut tugas itu.”
Dr Tan menambah bahawa parti itu menjangka sempadan GRC West Coast akan berubah sebelum pilihan raya, tetapi beliau berkata PSP akan bertanding tanpa mengambil kira perubahan itu.
“Anda seorang ahli politik, anda berjuang... Saya tidak membuat alasan – bagaimanapun West Coast akan terjejas, kami akan berada di sana,” katanya.
Dr Tan, yang akan berusia 85 tahun pada April, mengetuai barisan calon PSP di GRC West Coast dalam pilihan raya umum pada 2020.
Kawasan undi itu menyaksikan pertarungan sengit dalam pilihan raya tersebut, dengan PSP memperoleh 48.31 peratus undi berbanding 51.69 peratus parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), dan ia dijangka dipertandingkan lagi pada 2025.
Dr Tan – mantan Anggota Parlimen (AP) PAP – bertanding bersama Encik Leong Mun Wai, Cik Hazel Poa, Encik Nadarajah Loganathan dan Encik Jeffrey Khoo.
Encik Leong dan Cik Poa, yang kini setiausaha agung PSP, kemudian menerima jawatan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi di Parlimen.
Mereka menentang pasukan PAP yang diketuai Menteri Perhubungan dan Penerangan ketika itu, Encik S. Iswaran, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga ketika itu, Encik Desmond Lee; Cik Foo Mee Har, Encik Ang Wei Neng, dan calon baru Cik Rachel Ong.
Pasukan PAP perlu dirombak untuk pilihan raya 2025 kerana Encik Iswaran sedang menjalani hukuman penjara setahun kerana memperoleh barangan berharga sebagai penjawat awam dan menghalang keadilan.
Masih tidak jelas siapa bakal menggantikannya.
Kebanyakan anggota PSP dalam senarai 2020 itu dilihat semasa lawatan menemui penduduk itu dan di media sosial, kecuali Encik Loganathan, seorang mantan pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg