Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengetua tumpu pendidikan holistik di sekolah baru

Dec 27, 2024 | 5:30 PM
Meskipun beralih selaku pengetua Sekolah Rendah Radin Mas ke Sekolah Rendah Ang Mo Kio mulai 2025, falsafah Encik Muhammad Farizal Umar Effendi tetap sama iaitu memberi setiap pelajar peluang mengecap kejayaan dalam pelbagai bentuk, bukan hanya bidang akademik, tetapi aspek lain yang membantu mereka berkembang secara holistik.
Meskipun beralih selaku pengetua Sekolah Rendah Radin Mas ke Sekolah Rendah Ang Mo Kio mulai 2025, falsafah Encik Muhammad Farizal Umar Effendi tetap sama iaitu memberi setiap pelajar peluang mengecap kejayaan dalam pelbagai bentuk, bukan hanya bidang akademik, tetapi aspek lain yang membantu mereka berkembang secara holistik. - Foto ST

Bagi Encik Muhammad Farizal Umar Effendi, 47 tahun, menjadi seorang pengetua sekolah bukan sekadar satu peranan kepimpinan.

Malah, ia adalah satu tanggungjawab yang lebih besar dalam usahanya memberi impak yang berpanjangan kepada pelajar, guru dan masyarakat secara amnya.

Sebagai pengetua di Sekolah Rendah Radin Mas selama tujuh tahun sejak 2017, Encik Farizal tidak hanya menumpukan perhatian kepada pencapaian akademik, tetapi juga kepada perkembangan holistik setiap pelajar.

Komited untuk memastikan setiap pelajar mengecap kejayaan, beliau memperkenalkan sukan ragbi sebagai aktiviti kokurikulum (CCA) di sekolah itu pada 2020.

“Saya inginkan satu CCA yang membolehkan pelajar yang mungkin tidak begitu cemerlang dalam akademik untuk bekerja dalam satu pasukan yang kuat, saling menyokong antara satu sama lain, dan merasakan kejayaan.

“Pada akhir enam tahun (pembelajarannya) itu, pelajar tersebut berpeluang memohon untuk Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) kerana telah berjaya mengenal pasti bakat dan meneruskan minat mereka, serta terus mengembangkannya,” ujar Encik Farizal, yang sudah berkecimpung dalam sektor pendidikan selama sekitar 20 tahun.

Encik Farizal ditemui wartawan semasa majlis tahunan Pelantikan dan Penghargaan bagi Pengetua (AACP) 2024 yang diadakan di Hotel Shangri-La pada 27 Disember.

Beliau adalah antara 52 pengetua sekolah yang baru dilantik atau yang beralih ke sekolah baru yang hadir di majlis tersebut.

Encik Farizal akan menggalas tugas selaku pengetua di Sekolah Rendah Ang Mo Kio mulai 2025.

Majlis itu juga dihadiri Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, selaku Tetamu Terhormat.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Farizal berkata beliau percaya langkahnya memperkenalkan ragbi di sekolah dapat memberi peluang kepada murid untuk mengenal pasti kekuatan mereka di luar bilik darjah dan mendorong mereka terus meningkatkan diri secara menyeluruh.

Selain daripada memperkenalkan ragbi, bapa dua anak perempuan berusia 18 dan 13 tahun itu juga mendorong para pelajarnya agar melibatkan diri dalam projek bersama masyarakat setempat.

Di bawah program Kerja Projek Berbilang Disiplin (MDPW) di Sekolah Rendah Radin Mas, Encik Farizal telah melibatkan pelajar darjah enam untuk menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat, khususnya golongan warga emas yang menetap di sekitar Radin Mas.

“Sebelum ini, mereka hanya menghasilkan produk tanpa peluang untuk menunjukkannya kepada benefisiari projek tersebut.

“Justeru, saya mahu menjadikan projek ini lebih realistik di mana murid boleh berinteraksi bersama warga emas yang datang ke sekolah dan mendengar sendiri maklum balas daripada warga emas itu,” kata Encik Farizal.

Berpandukan falsafah bahawa seorang pengetua juga harus menjadi seorang pendidik, beliau berharap dapat memupuk budaya sekolah yang positif bersama para guru dan pelajar di sekolah barunya, Sekolah Rendah Ang Mo Kio, mulai 2025.

“Seorang pengetua mesti menjadi seorang pendidik. Jika anda hilang jiwa sebagai pendidik, anda akan menjadi seorang pentadbir sahaja.

“Pengetua mesti berjalan seiring dengan guru, menyokong perkembangan dan pertumbuhan mereka, serta sentiasa berusaha untuk berinteraksi dengan pelajar agar dapat memahami isu-isu yang dihadapi,” ujar beliau lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg