Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengetua: Video TikTok tular dakwa murid Sekolah Rendah River Valley dipukul di muka, satu kemalangan

Oct 8, 2025 | 7:40 PM
Kes yang didakwa buli di Sekolah Rendah River Valley yang berlaku  pada 6 Oktober itu melibatkan peljar ketiga, kata pengetua sekolah itu Cik Jennifer Pang.
Kes yang didakwa buli di Sekolah Rendah River Valley yang berlaku pada 6 Oktober itu melibatkan peljar ketiga, kata pengetua sekolah itu Cik Jennifer Pang. - Foto TANGKAP LAYAR GOOGLE MAPS

Insiden di mana seorang murid Sekolah Rendah River Valley didakwa menumbuk rakan sekolahnya di muka sebenarnya adalah satu kemalangan, bukan serangan seperti yang didakwa di media sosial, kata pengetua sekolah itu.

Menjawab pertanyaan media, pengetua Sekolah Rendah River Valley, Cik Jennifer Pang berkata pada 8 Oktober bahawa siasatan sekolah mendapati insiden tersebut adalah kemalangan yang turut melibatkan murid ketiga.

Insiden itu berlaku semasa waktu rehat pada 6 Oktober, jelas beliau.

Murid A, yang dikenal pasti dalam video TikTok – rakaman oleh bapa murid B – sebagai individu yang “menumbuk” murid B selepas mencuri dompetnya, memang telah mengambil dompet dan makanan ringan murid tersebut.

Murid B kemudian mengajak rakannya, murid C, untuk mengejar murid A di sekitar kantin, “di mana dompet yang dipegang murid C secara dengan tidak sengaja terkena bibir murid B,” kata Cik Pang.

Beliau menambah bahawa murid A tidak menumbuk murid B seperti yang didakwa dalam video TikTok tersebut, yang telah menjadi viral dan meraih lebih 700,000 tontonan sejak dimuat naik pada 7 Oktober.

Video itu memaparkan seorang budak lelaki dan seorang wanita di lokasi yang kelihatan seperti hospital, dengan seorang lelaki terdengar sedang berkata bahawa dompet dan makanan ringan anaknya telah diambil oleh seorang rakan sekolah.

Rakan sekolah itu juga didakwa menumbuk anaknya, kata lelaki itu, dengan klip dianggar sekitar dua minit itu berakhir dengan foto bibir anaknya yang lebam.

Cik Pang berkata: “Pihak sekolah akan membantu murid-murid belajar daripada insiden ini dan berusaha ke arah penyelesaian positif bagi perkara ini.

“Sementara itu, sekolah juga sedang berurusan dengan ibu bapa semua murid yang terlibat, untuk berkongsi apa yang berlaku semasa insiden rehat itu supaya mereka dapat memantau kesejahteraan anak-anak mereka.”

Isu buli di sekolah baru-baru ini menjadi perhatian pada Ogos, apabila tiga murid dari Sekolah Rendah Sengkang Green digantung kerana membuli seorang rakan sekelas, termasuk menghantar ugutan bunuh kepada ibu kanak-kanak perempuan itu.

Salah seorang daripada tiga murid itu juga telah dihukum rotan, dengan sekolah mewujudkan pelan keselamatan untuk budak perempuan tersebut, yang berhenti hadir ke sekolah kerana dibuli.

Pada Februari, Menteri Pendidikan ketika itu, Encik Chan Chun Sing, berkata di Parlimen bahawa kementeriannya mengambil pandangan serius terhadap sebarang perbuatan buli atau keganasan.

Ibu bapa harus menyerahkan kepada sekolah dan pihak berkuasa yang berkenaan untuk menangani kes-kes seperti ini, katanya, sambil menambah bahawa mereka harus mengelak daripada membuat spekulasi atau campur tangan kerana ia akan menyukarkan keadaan.

Encik Chan sebelum ini berkata pada Oktober 2024 bahawa jumlah purata insiden buli kekal stabil, dengan purata tahunan dua insiden buli di sekolah rendah, dan enam di sekolah menengah, bagi setiap 1,000 pelajar. Insiden ini merangkumi semua bentuk buli, sama ada di dalam atau luar sekolah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg