Sehingga 30 peratus daripada 60,000 pekerjaan dalam industri penerbangan mungkin direka bentuk semula sepanjang lima tahun akan datang.
Ini disebabkan faktor seperti kecerdasan buatan (AI) dan usaha ke arah kemampanan lebih tinggi, menurut satu laporan terkini.
Angka tersebut diperoleh daripada laporan transformasi pekerjaan penerbangan yang dilancarkan pada 18 Julai di pameran kerjaya dan pendidikan OneAviation.
Bagi membantu pekerja dan majikan menghadapi perubahan itu, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan memperuntuk dana tenaga kerja sebanyak $200 juta.
Dana tersebut akan digunakan untuk menyokong kesatuan sekerja, syarikat penerbangan dan penyedia khidmat pendidikan untuk menarik, membangun dan mengekalkan tenaga kerja penerbangan dengan lebih baik.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, di pameran tersebut.
Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada pelaburan $1 bilion yang diumumkan CAAS pada Mac bagi menyokong pembangunan hab udara Changi, lapor The Straits Times (ST).
Kajian tenaga kerja selama setahun itu – yang ditauliahkan pada 2024 oleh CAAS dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) – adalah yang pertama seumpamanya bagi industri penerbangan di sini.
Laporan tersebut meneliti keadaan tenaga kerja ketika ini, dan mengenal pasti trend masa depan, sebelum memberi cadangan bagi memperkukuh tenaga kerja masa depan, berdasarkan kenyataan media CAAS.
Kajian tersebut mendapati terdapat enam trend yang akan menjejas pekerjaan dan kemahiran dalam sektor itu sepanjang lima tahun akan datang, iaitu pendigitalan, AI, automasi, pilihan pengguna yang berubah, pilihan tenaga kerja yang berubah dan kemampanan.
Trend itu dijangka menjejas sehingga 30 peratus pekerjaan sedia ada.
Justeru, pekerja perlu meningkatkan kemahiran atau menjalani kemahiran semula, tambah laporan itu.
Bercakap kepada lebih 40 majikan penerbangan, institusi pendidikan penerbangan dan pertubuhan rakan kongsi semasa pameran tersebut, Cik Sun berkata trend itu memberi peluang kepada industri untuk membentuk semula dan mencipta peranan pekerjaan baru yang lebih menarik dan bermakna.
Cik Sun memberi contoh pengendali bagasi sebagai peranan yang mungkin mengalami perubahan.
Pada masa ini, pengendali biasanya menghabiskan lebih separuh masa kerja mereka membawa bagasi dari satu tempat ke tempat lain, yang boleh menyebabkan keletihan dan mengurangkan daya penghasilan.
Namun, apabila kenderaan berautonomi (AV) – yang kini menjalani ujian lanjutan – digunakan sepenuhnya untuk membawa bagasi, pengendali tidak lagi perlu mengangkut bagasi secara manual, kata Cik Sun.
Beliau menambah mereka boleh memberi tumpuan kepada operasi peralatan tahap akhir di kawasan pesawat.
Peranan mereka juga mungkin beralih kepada menyelia AV dari jauh, memantau sekumpulan AV dan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.
CAAS turut merancang membantu tenaga kerja penerbangan dengan kerjasama institusi pendidikan untuk membangun pelbagai program pengajian bagi membekalkan rakyat Singapura dengan kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan baru itu, di samping menyediakan latihan amali atau latihan dalaman.
Pada 18 Julai, CAAS menandatangani satu perjanjian dengan sembilan Institut Pengajian Tinggi (IHL) – termasuk Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Politeknik Ngee Ann dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) – bagi menggalak dan membolehkan golongan muda serta pencari kerja pertengahan kerjaya untuk menceburi industri penerbangan.
CAAS juga akan bekerjasama dengan pihak industri, kesatuan sekerja dan masyarakat penyelidikan untuk mempercepat pelaburan dalam teknologi yang boleh digunakan dalam ekosistem penerbangan bagi menambah daya penghasilan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg