Dalam usaha untuk mengukuhkan lagi keupayaan angkasa lepas Singapura, tokokan $60 juta akan dimasukkan ke dalam Program Pembangunan Teknologi Angkasa Lepas (STDP) Pejabat Teknologi Angkasa dan Industri (OSTIn).
Pembiayaan itu meliputi tempoh dari 2025 hingga 2027, susulan daripada pelaburan $150 juta dalam STDP yang dilaksanakan dari 2021 hingga 2025.
Demikian diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, di Konvensyen dan Pameran Teknologi Angkasa Lepas Global (GSTCE) 2025 pada 26 Februari.
“Untuk memangkinkan lagi penyelidikan dan pengembangan (R&D) dalam teknologi angkasa dan menyokong penerapannya, kami akan menyuntik tambahan $60 juta ke dalam STDP untuk tempoh dua tahun akan datang, selain daripada $150 juta yang telah dilancarkan sebelum ini.
“Kami berharap tokokan ini juga akan memudahkan perkongsian antara syarikat dengan institusi penyelidikan kami dan seterusnya mendorong inovasi dalam sektor angkasa lepas,” kata beliau.
Acara tersebut diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands dari 26 hingga 27 Februari, dengan Encik Gan hadir selaku tetamu terhormat.
Semasa taklimat media dalam talian pada 24 Februari, Ketua Eksekutif OSTIn, Encik Jonathan Hung, menjelaskan bahawa jumlah tokokan yang ditentukan adalah sebagai pembiayaan sementara yang digunakan untuk menyokong operasi sehingga pembiayaan yang lebih besar diperoleh bagi pusingan pelaburan yang seterusnya.
Ini dapat memastikan kesinambungan kewangan dalam jangka masa pendek.
Beliau berkongsi bahawa tokokan itu dijangka dapat memberikan sokongan stabil sekitar $30 juta setiap tahun meskipun jumlahnya lebih kecil daripada yang pertama iaitu pelaburan $150 juta dalam STDP yang dilaksanakan dari 2021 hingga 2025.
“Kita perlu gigih berusaha untuk memastikan kita menemui inisiatif yang tepat yang boleh dimainkan Singapura melalui sokongan tokokan $60 juta ini.
“Ini adalah usaha berterusan untuk memastikan sektor angkasa lepas Singapura kekal berdaya saing, memandangkan permintaan yang semakin meningkat untuk inovasi dalam bidang ini,” ujar Encik Hung, yang juga berkongsi bahawa sektor tersebut kini terdiri daripada sekitar 70 syarikat dan 2,000 karyawan.
Antara projek yang telah meraih manfaat daripada STDP sebelum ini termasuk pembangunan teknologi satelit yang akan bergerak dekat dengan Bumi atau terbang pada paras orbit Bumi yang rendah (VLEO), serta penyelidikan untuk meningkatkan anggaran biojisim di atas dan di bawah tanah bagi menyokong usaha pengukuran dan pengesahan karbon.
Selain daripada tokokan, OSTIn juga akan memperkenalkan Inisiatif Pemerhatian Bumi (EOI), yang akan menggunakan imej satelit penderiaan jauh untuk membantu dalam menangani cabaran kemampanan dan kemanusiaan di rantau Asia-Pasifik termasuk keselamatan makanan, pengurusan bencana dan perubahan iklim.
Dengan memanfaatkan teknologi Pemerhatian Bumi (EO), usaha kerjasama yang diketuai OSTIn itu boleh memantau, mengurus dan menyediakan data menyeluruh mengenai keadaan persekitaran seperti perubahan penggunaan tanah, sumber air, menilai kesihatan tanaman dan meramalkan bencana alam.
Menurut OSTIn lagi, ini juga antara matlamat strategik utama EOI iaitu menangani cabaran kritikal serantau yang sejajar dengan tujuan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seperti keselamatan makanan, kualiti air dan pemantauan bencana.
Matlamat strategik lain termasuk membangunkan penyelesaian inovatif yang bukan sahaja secara berskala, bahkan dapat disesuaikan dengan keperluan serantau dan menyediakan pertukaran pengetahuan dan pembinaan kapasiti untuk terus mendorong inovasi dalam teknologi EO di seluruh Asia-Pasifik.
Mengulas tentang keberkesanan kerjasama strategik Penguasa Tanah Singapura (SLA) dengan OSTIn dalam EOI sebagai salah satu rakan kongsi, Ketua Eksekutif SLA, Encik Colin Low, berkata:
“Kerjasama strategik SLA dengan OSTIn dalam EOI menandakan satu langkah penting mempercepatkan penyelesaian yang berasaskan geospatial (bagi mengenal pasti maklumat mengenai permukaan bumi) untuk menyokong agenda kemampanan Singapura.
“Berdasarkan pengalaman SLA menggunakan teknologi dan data berasaskan ruang bagi projek geospatial, kerjasama ini akan memacu huraian inovatif dan memperdalamkan kerjasama serantau bagi menangani cabaran yang dibawa perubahan iklim.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg