Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengguna FB mohon maaf, padam hantaran fitnah mengenai Ye Kung, Hong Tat, Chee Meng

May 16, 2025 | 7:55 PM
Singapore, Singapura, Facebook, Menteri, Ministers, Ong Ye Kung, Chee Hong Tat, Ng Chee Meng, fitnah
(Dari kiri) Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung; Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat; dan Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, telah menghantar surat melalui peguam mereka kepada pengguna Facebook Sng Chia Huat. - Foto fail ST

Seorang pengguna Facebook, Encik Sng Chia Huat, memohon maaf pada 16 Mei kepada Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung; Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat; dan ketua buruh, Encik Ng Chee Meng, kerana membuat kenyataan fitnah terhadap mereka.

Encik Sng, yang dikenali sebagai Rich Sng di Facebook, turut memadam hantaran yang menuduh kededua menteri dan Encik Ng terlibat dengan geng kumpulan Fujian, Su Haijin.

Dalam dua hantaran baru di Facebook, Encik Sng berkata beliau menerima surat tuntutan daripada peguam yang mewakili Encik Ong, Encik Chee dan Encik Ng pada 15 Mei, yang meminta beliau memadam hantaran-hantaran terdahulu, dan beliau telah mematuhi permintaan tersebut, lapor The Straits Times.

Encik Sng turut memuat naik gambar permohonan maaf yang telah ditandatangani kepada Encik Ong, Encik Chee dan Encik Ng, yang mana beliau mengakui dan menerima bahawa tuduhan yang dibuat terhadap ketiga-tiga mereka adalah “palsu dan sama sekali tidak berasas”.

Dalam satu kenyataan bersama pada 16 Mei, Encik Ong dan Encik Chee berkata adalah penting bagi mereka mengambil tindakan guaman terhadap Encik Sng.

“Sedang seorang individu berhak untuk tidak setuju dengan dasar pemerintah, ini tidak bererti mereka boleh buat tuduhan tidak berasas terhadap penggubal dasar dengan mempertikaikan kejujuran dan integriti mereka.

“Dengan sokongan rakyat Singapura, generasi pemimpin pemerintah telah bersusah payah membina institusi Singapura yang bersih dan jujur, bertahun lamanya.

“Kita mesti terus tegakkan institusi ini, menerusi tindakan dan sikap betul pemimpin pemerintah, dengan mempertahankan sistem ini apabila diserang secara tidak berasas,” kata kenyataan itu.

Foto Encik Ong, Encik Chee dan Encik Ng telah diambil bersama Su, salah seorang daripada 10 individu yang dihukum dalam kes pengubahan wang haram bernilai bilion dolar pada 2024.

Su, warga Cyprus, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan pada April 2024.

Encik Sng membuat hantaran di Facebook pada 9 dan 10 Mei, mendakwa Encik Ong dan Encik Chee mengetahui Su melanggar undang-undang tetapi membenarkannya, serta menuduh mereka terlibat dalam rasuah dan melindungi penjenayah seperti Su.

Pada 6 Mei, Encik Ong dan Encik Chee telah memberi respons terhadap gambar-gambar yang tersebar dalam talian.

Mereka berkata sebagai menteri, mereka bertemu pelbagai individu dalam acara, termasuk makan malam yang mana Su hadir atas jemputan seorang rakan, dan mereka tidak mengenali Su secara peribadi.

“Pemerintah PAP menegakkan integriti tinggi dan para menteri bertekad mempertahankannya, walaupun mereka mungkin tidak sengaja berjumpa individu yang terlibat dalam kegiatan tidak wajar,” kata kenyataan bersama setiausaha mereka.

Pada 6 Mei, Encik Ng menjelaskan bahawa sebagai setiausaha agung NTUC, beliau berhubung dengan syarikat dan pemimpin swasta.

Pertemuan dengan Su berlaku sebelum siasatan polis dan tuduhan jenayah dan selepas itu mereka tidak lagi berhubung.

Pada 12 Mei, para menteri menghantar surat peguam kepada Encik Sng atas fitnah rasuah, meminta maaf, menarik balik tuduhan dan membayar pampasan sebelum 16 Mei. Pada hari yang sama, Encik Ng menuntut tindakan yang sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg