Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung, Hong Tat, Chee Meng hantar surat peguam minta individu tarik balik dakwaan palsu

May 12, 2025 | 7:25 PM
Gambar menunjukkan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (gambar kiri, berdiri, kanan), dan Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat (gambar kanan, duduk, kanan), menghadiri majlis makan malam yang turut dihadiri Su Haijin (berdiri di kiri dalam kededua gambar). Encik Ong dan Encik Chee berkata mereka tidak mengenali Su secara peribadi, dan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengannya sebelum dan selepas makan malam itu.
Gambar menunjukkan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (gambar kiri, berdiri, kanan), dan Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat (gambar kanan, duduk, kanan), menghadiri majlis makan malam yang turut dihadiri Su Haijin (berdiri di kiri dalam kededua gambar). Encik Ong dan Encik Chee berkata mereka tidak mengenali Su secara peribadi, dan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengannya sebelum dan selepas makan malam itu. - Foto INSTAGRAM TOXICSTATENARRATIVEINSG

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dan Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, telah menghantar surat peguam kepada seorang lelaki bernama Encik Sng Chia Huat, berkenaan catatan media sosialnya berhubung anggota kumpulan dari Fujian, Su Haijin.

Menurut satu kenyataan bersama oleh setiausaha akhbar dua menteri itu pada 12 Mei, Encik Sng, yang menggunakan nama ‘Rich Sng’ di Facebook, telah menerbitkan dua catatan di media sosial yang secara palsu menuduh Encik Ong dan Encik Chee tahu Su melanggar undang-undang tetapi membiarkannya.

Encik Sng juga menuduh Encik Ong dan Encik Chee secara tidak jujur ​​berpura-pura tidak mengenali Su, terlibat atau terdedah kepada rasuah, dan menjadi sebahagian daripada sistem yang melindungi penjenayah tersebut.

“Tuduhan ini tidak berasas dan tidak benar,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, gambar Encik Ong dan Encik Chee yang menunjukkan mereka menghadiri majlis makan malam bersama Su telah tersebar dalam talian.

Foto-foto majlis makan malam itu disiarkan di Instagram pada 4 Mei dan 5 Mei oleh bekas pengerusi Parti Reformasi Charles Yeo.

Menurut kenyataan pada 12 Mei itu lagi: “Seperti yang dinyatakan dalam satu kenyataan sebelum ini, kededua Menteri tidak mengenali Encik Su Haijin secara peribadi, dan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengannya sebelum dan selepas makan malam itu.”

Su, seorang warga Cyprus, menghadapi 14 pertuduhan, termasuk bagi kesalahan cuba mengelak daripada ditangkap dan pengubahan wang haram. Dia dijatuhi hukuman penjara 14 bulan pada 4 April 2024, dan dihantar pulang ke Kemboja pada 28 Mei tahun itu.

Dia adalah salah seorang daripada 10 orang yang disabitkan kesalahan dalam kes pengubahan wang haram $3 bilion – antara yang terbesar di Singapura.

Encik Ong dan Encik Chee telah meminta Encik Sng untuk meminta maaf, menarik balik tuduhan palsunya dan membayar ganti rugi, yang akan diderma kepada amal.

“Jika Encik Sng tidak melakukannya sebelum 16 Mei, dua Menteri itu akan mengemukakan saman fitnah untuk membersihkan nama mereka terhadap dakwaan palsu itu, dan mendukung nama baik Pemerintah,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Anggota Parlimen (AP) Jalan Kayu, Encik Ng Chee Meng, juga menhantar surat peguam kepada Encik Sng, dan menyatakan pos oleh Encik Sng itu adalah palsu, mengelirukan dan menimbulkan fitnah.

Encik Ng, yang gambarnya bersama Su juga disiarkan, sebelum ini berkata gambar itu telah dipetik semasa satu acara makan malam dahulu yang diadakan sebahagian daripada sesi pendekatannya sebagai Setiausaha Agung NTUC.

Encik Ng turut meminta Encik Sng untuk menarik balik dakwaan itu dan meminta maaf sebelum 16 Mei, serta mencadangkan jumlah bayar ganti rugi untuk didermakan kepada amal. Jika tidak, Encik Ng akan mengambil tindakan undang-undang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg