Menggabungkan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) Kategori A dan Kategori B ke dalam satu kelompok, serta memperkenalkan rebat dan caj tambahan berdasarkan nilai kenderaan, adalah antara idea yang dibincangkan semasa semakan semula Pelan Induk Pengangkutan Darat.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan dalam satu kenyataan pada 27 Julai bahawa lebih 400 peserta dalam fasa kedua perbincangan kumpulan fokus pelan induk itu telah meneroka beberapa idea untuk mengkategorikan COE.

Ini termasuk menggunakan saiz kenderaan sebagai kriteria pembeza dan mengagihkan COE berdasarkan keperluan, khususnya buat keluarga besar dengan anak-anak kecil.

Terdapat cadangan untuk mewujudkan kategori berasingan untuk syarikat pajakan kereta, dan mengenakan caj tambahan ke atas mereka yang memiliki beberapa kereta.

Mereka juga mencadangkan penghapusan COE kategori Terbuka (Kategori E), yang biasanya digunakan untuk kereta lebih besar dan berkuasa tinggi. 

Pada perbincangan kumpulan fokus mengenai topik itu, timbalan pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi pengangkutan, Encik Edward Chia, mencadangkan penggabungan COE Kategori A dan B.

Beliau turut mencadangkan penawaran diskaun untuk kenderaan dengan nilai pasaran terbuka yang lebih rendah, dan mengenakan caj tambahan ke atas kenderaan dengan nilai yang lebih tinggi.

Nilai pasaran terbuka merujuk kepada kos sesebuah kereta pada ketika ia diimport ke Singapura, tanpa mengambil kira premium COE dan cukai atau caj lain. 

Peserta dalam kumpulan fokus itu telah mendapati bahawa kriteria kapasiti enjin dan penarafan kuasa enjin semakin kurang berkesan untuk membezakan antara kereta pasaran massa dengan kereta kelas atasan.

Pada masa ini, Kategori A adalah untuk kereta sehingga 1,600cc dan 130 kuasa kuda (bhp), serta kenderaan elektrik (EV) dengan output kuasa maksimum 110 kilowatt (kW).

Sementara itu, Kategori B digunakan untuk mendaftarkan kereta yang lebih besar dan berkuasa tinggi melebihi 1,600cc atau 130bhp, serta EV dengan output kuasa maksimum melebihi 110kW.

Encik Chia dan Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast-Jurong West, Encik Ang Wei Neng, berkata pengeluar kereta telah menyesuaikan spesifikasi kenderaan mereka untuk membolehkan kenderaan tersebut layak untuk COE Kategori A, menyebabkan premium kategori tersebut lebih hampir kepada premium Kategori B.

Encik Chia menyatakan premium COE Kategori A telah melebihi premium Kategori B pada 20 Februari dan 22 April, dan buat kali ketiga pada 17 Jun.

Pada bidaan COE paling terkini pada 22 Julai, premium Kategori A ditutup pada $126,000 – $3,890 lebih rendah daripada Kategori B yang ditutup pada $129,890.

Selain dasar pemilikan kereta, peserta kumpulan fokus itu turut membincangkan penambahbaikan alternatif kepada penggunaan kereta, termasuk memasang lebih banyak infrastruktur berbasikal dan laluan pejalan kaki berbumbung.

Mereka menyeru keutamaan lebih besar diberikan kepada pejalan kaki dan pengangkutan awam berbanding kereta dalam reka bentuk jalan raya dan trafik, dan menyatakan keperluan untuk perkhidmatan perkongsian kereta yang lebih mudah diakses dan mesra keluarga.

LTA berkata dalam kenyataannya bahawa ia akan mengeluarkan kertas perundingan lewat 2026 untuk mendapatkan maklum balas awam yang terperinci mengenai pilihan dasar yang dicadangkan, dan akan menyempurnakan semakan tersebut menjelang akhir 2026.