Mereka yang menggunakan skuter mobiliti diingatkan supaya mendapatkan serta mengemukakan pengesahan perubatan yang membuktikan keperluan mereka untuk peranti tersebut sebelum peraturan lebih ketat berkuat kuasa pada 1 Jun.

Setakat ini, lebih 500 orang telah berbuat demikian.

Pengguna kerusi roda manual yang dilengkapi tambahan bermotor mudah alih yang dikemudi hendal juga tertakluk kepada keperluan ini.

Sijil Keperluan Perubatan tersebut perlu diserahkan kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Dalam menggesa pengguna dan peruncit supaya memahami peraturan baharu ini, LTA pada 24 April memaklumkan bahawa pegawai penguat kuasa akan meminta maklumat pengguna bagi menyemak status sijil mereka apabila peraturan dikuatkuasakan.

Hanya kumpulan tertentu dikecualikan daripada menyerahkan sijil ini kepada pihak berkuasa, seperti warga emas berusia 70 tahun ke atas serta penerima skim sokongan mobiliti dan ketidakupayaan tertentu.

Selain mewajibkan bukti keperluan perubatan bagi penggunaan alat mobiliti peribadi (PMA), had kelajuan di laluan awam juga akan diturunkan kepada 6 kilometer sejam (km/j) , berbanding 10 km/j ketika ini.

Bagi memudahkan peralihan, PMA sedia ada , termasuk kerusi roda bermotor, yang mempunyai had kelajuan sehingga 10 km/j masih boleh digunakan sehingga 31 Disember 2028.

Namun, ketika digunakan, ia mesti mematuhi had 6 km/j.

Mulai 1 Januari 2029, semua skuter mobiliti dan kerusi roda bermotor yang digunakan di laluan awam perlu mematuhi had kelajuan baharu tersebut.

Mulai 1 Jun juga, PMA yang melebihi ukuran 120 sentimeter (cm) x 70cm x 150cm atau mempunyai berat lebih 300 kilogram tidak dibenarkan digunakan di laluan awam, kecuali jika mendapat pengecualian.

Bagi peruncit pula, hanya skuter mobiliti yang berdaftar dibenarkan untuk diiklankan, dipamerkan dan dijual mulai tarikh yang sama.

LTA telah mula menerima permohonan pendaftaran model peranti sejak 20 April, dan hanya model yang diluluskan boleh dipasarkan.

Pada 24 April, LTA turut mengingatkan pemilik peranti mobiliti peribadi seperti e-skuter bahawa adalah menjadi satu kesalahan untuk menyimpan peranti yang tidak disahkan di bawah piawaian keselamatan kebakaran UL2272.

Mereka yang gagal melupuskan peranti yang tidak mematuhi piawaian boleh didenda sehingga $2,000, dipenjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Perniagaan dan pesalah berulang mungkin dikenakan hukuman lebih berat.

Orang ramai juga boleh melaporkan pengguna atau peruncit yang melanggar peraturan melalui laman https://go.gov.sg/report-am.

Peranti yang berpotensi menyebabkan risiko kebakaran boleh dilaporkan kepada majlis bandaran, badan pengurusan bangunan, atau Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) melalui aplikasi myResponder.