Para pengendali laman web, dan halaman media sosial Facebook, Instagram dan X milik The Online Citizen (TOC), akan terus dilarang daripada meraih sebarang manfaat kewangan daripada pengendalian wadah tersebut sehingga 2027.
Dalam satu kenyataan pada 11 Jun, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) menyatakan bahawa laman web dan halaman media sosial TOC – yang dinamakan sebagai Lokasi Dalam Talian Yang Diisytiharkan (DOL) – kali pertama diumumkan sebagai DOL pada Julai 2023, dan status tersebut sepatutnya tamat pada 21 Julai 2025.
DOL perlu mematuhi peruntukan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma), yang menghalang pengendali wadah tersebut daripada menerima sebarang manfaat kewangan sepanjang tempoh ia disenaraikan sebagai DOL.
Bagaimanapun, TOC “masih menyampaikan kepalsuan melalui wadah dalam taliannya sepanjang dua tahun lalu”, menurut MDDI.
Antara Julai 2023 dengan Jun 2025, TOC menerima lapan arahan pembetulan di bawah undang-undang berita palsu, lapor The Straits Times (ST).
Ini termasuk satu arahan yang dikeluarkan pada 25 Februari, selepas TOC menerbitkan satu rencana mengenai kerja-kerja pengubahsuaian di banglo era kolonial di Ridout Road, yang disewa oleh isteri Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri ketika itu, Encik K. Shanmugam.
Dalam rencana tersebut, TOC menyatakan bahawa Penguasa Tanah Singapura (SLA) telah memberi jaminan kepada Encik Shanmugam berhubung lanjutan pajakan hartanah tersebut, selepas tempoh pajakannya tamat pada 2027.
Ia juga antara lain mendakwa bahawa dana awam telah digunakan untuk membiayai kerja-kerja tanah di banglo tersebut sejak 2024.
Dakwaan tersebut adalah palsu, menurut MDDI.
Akibatnya, laman web dan halaman media sosial TOC sekali lagi dinamakan sebagai DOL, satu langkah yang perlu “untuk memastikan rakyat Singapura terus dimaklumkan mengenai rekod TOC dalam menyampaikan maklumat palsu,” menurut kementerian itu.
Sekatan terbaru itu berkuat kuasa serta-merta selepas sekatan sedia ada tamat tempohnya, dan ia akan terus berkuat kuasa sehingga 21 Julai 2027.
TOC masih dibenarkan meneruskan operasinya, namun perlu memaparkan satu notis di semua wadah dalam taliannya bagi memaklumkan para pembaca bahawa ia telah dinamakan sebagai DOL.
Notis tersebut juga perlu menyatakan bahawa TOC telah “menyampaikan beberapa maklumat palsu”, dan para pembaca dinasihatkan supaya berwaspada apabila mendapatkan maklumat daripada wadah tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg