Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penghuni Pertapis temu pemain bola Newcastle

Seramai 25 penerima bantuan turut terima barang keperluan, baucar hasil kerjasama Pertapis, Festival Bola Sepak S’pura
Jul 26, 2025 | 10:46 PM
Firdaus D’Cruz, Pertapis, Newcastle United, sfof
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz, menerima jersi bola yang ditandatangani oleh pemain kelab Liga Perdana England (EPL), Newcastle United, semasa satu acara pada 26 Julai, hasil kerjasama antara Pertapis dengan Festival Bola Sepak Singapura (SFOF). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Menerusi sukan, kanak-kanak yang berdepan pelbagai cabaran diberi ruang melepaskan tekanan emosi dan beban yang mereka pikul.

Sukan juga memberi mereka peluang sama rata untuk bersaing bersama rakan sebaya, sekali gus membantu membina keyakinan dan jati diri yang lebih kukuh, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz.

Beliau berkata demikian semasa satu acara pada 26 Julai, hasil kerjasama antara Pertapis dengan Festival Bola Sepak Singapura (SFOF).

“Saya rasa apabila berdepan dengan pelbagai cabaran, kami amat prihatin dan mengambil berat akan kesejahteraan mereka (penerima bantuan).

“Melalui sukan seperti bola sepak, mereka diberi ruang melepaskan tekanan emosi dan isu-isu yang dihadapi.

“Pertama sekali, ia membantu mereka meluahkan perasaan yang terpendam.

“Kedua, sukan memberi mereka peluang yang adil untuk bersaing dan berinteraksi dengan rakan sebaya,” ujar Encik Firdaus.

Seramai 25 penerima bantuan terdiri daripada ibu tunggal, keluarga berpendapatan rendah serta penghuni Rumah Kanak-Kanak Pertapis (PCH) dan Pusat Wanita dan Remaja Perempuan Pertapis (PCWG), itu berpeluang bertemu dengan sembilan pemain kelab Liga Perdana England (EPL), Newcastle United, di Hotel Pan Pacific. 

Mereka turut menerima barangan keperluan bernilai $80, baucar pasar raya bernilai $30 dan baucar Popular bernilai $5 yang diagihkan oleh pemain Newcastle, di samping mendapat peluang bergambar bersama.

Encik Firdaus menambah, sukan mempunyai keupayaan untuk mengatasi segala halangan dan diharapkan program sedemikian bukan sahaja dapat memberi motivasi kepada kanak-kanak, malah memperkasa mereka untuk berjaya dalam kehidupan.

“Kami berharap dapat memberikan peluang kepada kanak-kanak serta penerima bantuan kami untuk bertemu dengan pemain-pemain bertaraf dunia.

“Kami juga berharap pengalaman ini dapat memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada kanak-kanak dan keluarga yang dibantu.

“Ia adalah satu peluang yang luar biasa dan istimewa, yang bukan sahaja menggembirakan mereka bahkan juga memberi mereka keyakinan bahawa pengalaman positif dan menggembirakan seperti ini dapat mereka alami,” kata Encik Firdaus.

Selain itu, seramai 10 penerima bantuan terpilih dan 10 penghuni telah menerima tajaan tiket perlawanan untuk menyaksikan perlawanan antara Arsenal dengan AC Milan di Stadium Negara pada 23 Julai.

Dua kanak-kanak turut diberi penghormatan berjalan bersama pemain AC Milan sebagai maskot perlawanan.

“Kami juga berharap pengalaman ini dapat memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada kanak-kanak dan keluarga yang dibantu.  Ia adalah satu peluang yang luar biasa dan istimewa, yang bukan sahaja menggembirakan mereka bahkan juga memberi mereka keyakinan bahawa pengalaman positif dan menggembirakan seperti ini dapat mereka alami.”
Encik Firdaus D’Cruz, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pertapis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg