Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengiklan Facebook mesti sahkan identiti jelang akhir Jun

Mar 10, 2025 | 6:15 PM
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata Facebook tidak dapat mengekang kekerapan iklan penipuan pada separuh kedua 2024.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata Facebook tidak dapat mengekang kekerapan iklan penipuan pada separuh kedua 2024. - Foto ST

Menjelang akhir Jun, semua pengiklan Facebook dikehendaki mengesahkan identiti (ID) mereka dengan memuat naik ID mereka yang dikeluarkan pemerintah.

Pengesahan wajib untuk semua pengiklan itu berikutan peningkatan 12 peratus dalam laporan tentang iklan penipuan di Facebook dari Jun hingga Disember 2024.

Dalam tempoh itu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah membenarkan Facebook menggunakan keperluan pengesahan itu hanya pada pengiklan terpilih.

Jika penipuan terus berleluasa, MHA akan mengetatkan keperluannya, lapor The Straits Times.

Di bawah Kod Amalan bagi Khidmat E-Dagang baru, yang berkuat kuasa pada Jun 2024, platform yang ditetapkan seperti Facebook dan Carousell perlu melancarkan langkah untuk melindungi pengguna Singapura daripada penipuan.

Antara Jun dengan Disember 2024, platform itu perlu mengesahkan hanya identiti penjual yang dianggap “berisiko”.

Pada 10 Mac, MHA berkata Facebook tidak dapat mengekang kekerapan iklan penipuan pada separuh kedua 2024.

Kementerian itu menyatakan bahawa keperluan pengesahan Meta (pemilik Facebook) dihadkan kepada iklan berbayar, sedangkan perangkaan polis mengenai iklan penipuan terdiri daripada hantaran berbayar dan tidak berbayar.

MHA berkata: “Meta bertujuan mengesahkan identiti semua pengiklan di Facebook menjelang akhir Jun 2025. Kami mengalu-alukan langkah ini dan akan memantau keadaan.”

Kegagalan mematuhi Kanun itu adalah satu kesalahan jenayah di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha).

Pihak yang bersalah boleh didenda sehingga $1 juta di bawah Ocha, yang berkuat kuasa pada Februari 2024.

Perintis itu juga melibatkan Carousell serta khidmat Marketplace dan Pages oleh Facebook, memberikan masa kepada kedua-dua platform itu mencuba penggunaan langkah pengesahan pada penjual dan pengiklan terpilih.

Kedua-dua platform itu berada di kedudukan terbawah dalam ranking keselamatan e-dagang tahunan oleh MHA yang diterbitkan pada April 2024.

Pada 10 Mac, MHA berkata ia berpuas hati dengan keberkesanan langkah antipenipuan untuk menyaring pengguna terpilih di pasaran dalam talian Meta dan Carousell, dan telah memutuskan untuk tidak melaksanakan keperluan langkah pengesahan wajib untuk semua penjual.

Bilangan penipuan e-dagang di Marketplace Facebook turun sekitar 55 peratus dari Jun hingga Disember 2024, yang menurut MHA merupakan “peningkatan yang ketara”.

“Makanya, kami akan terus memantau situasi penipuan e-dagang di Marketplace dan mungkin memerlukan Meta mengesahkan identiti lebih ramai penjual sekiranya keadaan bertambah buruk,” kata MHA.

Pengarah dasar awam Meta di Asia Tenggara, Encik Rafael Frankel, berkata langkah pengesahan pengguna yang serupa mungkin dilaksanakan di pasaran lain, bergantung pada keberkesanan langkah tersebut dalam perintis di Singapura.

Beliau enggan mendedahkan cara Facebook mengenal pasti akaun berisiko, andainya penipu menggunakan maklumat tersebut untuk mengelak daripada dikesan.

Carousell juga tidak diperlukan mengesahkan semua penjualnya, berikutan penurunan 11 peratus dalam penipuan e-dagang di platform itu.

“Walaupun ini bukan penurunan yang ketara, ia menunjukkan trend yang menurun, dan Carousell telah menunjukkan kesanggupan dan sikap proaktif untuk bekerjasama dengan kami dalam pelbagai langkah antipenipuan,” kata MHA.

Platform itu memerlukan penjual yang membuat transaksi dalam kategori berisiko tinggi seperti hartanah mengesahkan identiti mereka menggunakan Singpass.

Carousell juga boleh menyaring pengguna yang dianggap berisiko, seperti penjual yang menggunakan akaun baru dengan penilaian profil rendah dan jumlah sembang yang banyak, serta penjual dengan barangan yang disenaraikan dengan harga tawaran yang ‘indah khabar dari rupa’.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg