Sekumpulan pengiklan mengunjungi pejabat Berita Harian (BH) pada 4 Mac di mana mereka berpeluang mengetahui lebih lanjut tentang operasi dan strategi bilik berita serta tawaran digitalnya.
Semasa lawatan itu, mereka diberi taklimat tentang tawaran digital BH, seperti podcast #NoTapis, kandungan di Instagram dan TikTok, serta wadah baru, OMG atau ‘Orang Muda Gitew’, yang boleh dimanfaatkan untuk membina dan mempertingkat penjenamaan mereka.
Antara yang mengunjungi BH ialah pengarah urusan Pos TKI, syarikat logistik yang berpangkalan di Singapura, Encik Mohamed Anwar Tahar, yang berkata beliau rasa kagum dengan transformasi bilik berita dan menantikan kerjasama dengan akhbar itu pada masa depan.
“(Tawaran digital) ini membantu dari segi penjenamaan untuk Pos TKI, lebih-lebih lagi sekarang ini kita juga ada perniagaan Pos TKI Travel. Ia baik untuk kami mendekati pelanggan bukan hanya di Singapura, malah seluruh dunia,” kata beliau.
Cik Nuruljannah Md Shaharuddin, pegawai eksekutif penjenamaan dan pemasaran digital di AMP Singapura, pula berkata tawaran digital seperti OMG boleh membantu pertubuhan itu mendekati golongan belia masyarakat Melayu/Islam Singapura.
Editor Audiens dan Pertumbuhan BH, Cik Norhaiza Hashim, berkata BH telah melalui satu rombakan digital sejak enam bulan dan justeru, lawatan itu telah diadakan agar para pengiklan dapat mengetahui apakah produk yang ditawarkan supaya mereka boleh memanfaatkannya untuk pelanggan.
“Saya rasa ia amat penting bagi mereka mengetahui apakah tawaran digital yang kami ada supaya mereka dapat mempertimbangkannya sebagai satu wadah bagi mereka mengiklankan produk mereka.
“Ia merupakan satu peluang baru bagi pengiklan mengetengahkan produk-produk mereka di wadah BH,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg