Mulai awal 2027, pengunjung ke Sentosa boleh menempah perjalanan menaiki kenderaan pandu sendiri antara tempat ambil dan turun yang ditetapkan di seluruh bahagian barat pulau itu.

Perkhidmatan itu adalah sebahagian daripada kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) dan platform tempahan kenderaan Tada. 

Percubaan itu akan bermula dengan dua kenderaan pandu sendiri yang mempunyai lapan tempat duduk yang dilengkapi teknologi pemanduan autonomi yang dibangunkan oleh WeRide.

Pada fasa pertama percubaan, pengunjung boleh menempah perjalanan secara percuma menerusi aplikasi Tada antara 1 petang dengan 7 malam, dan memilih daripada 21 tempat mengambilnya dan turun.

Tempat itu termasuk Mega Adventure Park, Ola Beach Club dan Siloso Beach Resort, di sepanjang Pantai Siloso dan Palawan.

Kaedah pengangkutan yang baharu itu berbeza daripada susunan sekarang – pengunjung perlu menaiki monorel, bertukar ke tram pantai, dan berjalan kaki ke destinasi akhir mereka.

Pada fasa kedua percubaan, bilangan tempat ambil dan turun akan meningkat kepada 27 di seluruh pulau, termasuk bahagian timur Sentosa.

Perkara itu tertakluk kepada kelulusan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA). Butiran lanjut akan diumumkan kemudian. Perjalanan adalah percuma sepanjang tempoh percubaan.

Pengendali keselamatan di atas kenderaan ulak-alik itu datang daripada pengendali bas Tower Transit Singapore (TTS).

Berucap kepada media pada majlis pelancaran di Emerald Pavilion, Sentosa, pada 29 Oktober, ketua pegawai eksekutif SDC, Encik Thien Kwee Eng, berkata perkhidmatan ulang-alik pandu sendiri itu akan meningkatkan ketersambungan pengangkutan untuk pengunjung ke pulau itu dengan ketara.

“Ini akan melengkapi infrastruktur pengangkutan di pulau kami. Semua ini akan memberi tetamu lebih banyak kemudahan, keselesaan dan akses, sekali gus memberi mereka lebih banyak masa untuk menikmati pulau ini,” tambahnya. 

Menyatakan bahawa Sentosa ialah persekitaran terkawal yang dikendalikan sepenuhnya oleh SDC, Cik Thien berkata pulau itu akan menjadi ‘makmal hidup’ untuk menguji teknologi baharu itu kerana ia lebih mudah untuk memudahkan percubaan sedemikian di sana.

Tujuan percubaan itu, tambahnya, adalah untuk mengumpul maklum balas daripada pengguna supaya SDC dan Tada dapat memperbaiki perkhidmatan itu dan meneliti cara terbaik untuk menyepadukannya ke dalam rangkaian pengangkutan sedia ada pulau itu.

Cik Thien berkata kedua-dua syarikat akan mengambil kira permintaan dan penggunaan perkhidmatan ulang-alik, dan memaklumkan orang ramai terlebih dahulu jika sebarang bayaran akan dikenakan selepas percubaan.

Sementara itu, TTS berkata pengalamannya mengendalikan bas Sentosa selama setahun membuatkannya mengenali jalan-jalan pulau itu dengan baik. Ini membantu pengendali keselamatannya mengambil alih kawalan kenderaan secara manual dengan yakin apabila perlu. 

Ia menambah bahawa pengendali keselamatannya sedang menjalani program latihan selama sebulan yang merangkumi pengendalian kenderaan, tindak balas kecemasan dan pemanduan defensif.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti