Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengunjung digesa patuh aturan keselamatan semasa jalan di jaring Jewel

Jan 6, 2026 | 7:48 PM
jewel, airport, walking net
Tarikan ‘Walking Net’, ialah jaring gergasi yang digantung setinggi 25 meter dari aras tanah dan boleh dilalui oleh pengunjung di Jewel Lapangan Terbang Changi. - Foto ST

Pengunjung ke daya tarikan jaring ‘Walking Net’ di pusat beli-belah Jewel Lapangan Terbang Changi dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan keselamatan ketika berjalan di jaring gergasi yang tergantung itu.

Nasihat tersebut dikeluarkan selepas seorang budak cedera ketika bermain di tarikan berkenaan pada 10 Disember.

Menjawab pertanyaan media, Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) berkata pada 5 Januari, kanak-kanak itu sedang berlari di atas jaring tersebut, hilang imbangan lalu terhantuk pada laluan papan kayu.

Tarikan tersebut yang terletak di dalam Canopy Park, Jewel, merupakan jaring gergasi yang digantung setinggi 25 meter dari aras tanah dan boleh dilintasi pengunjung.

Seorang jurucakap Pembangunan Jewel Lapangan Terbang Changi pula menambah, garis panduan keselamatan di tarikan tersebut menetapkan pengunjung tidak dibenarkan berlari, lapor The Straits Times (ST).

“Dalam kejadian ini, kakitangan keselamatan beberapa kali mengingatkan kumpulan kanak-kanak tersebut supaya tidak berlari di atas tarikan itu sebelum kejadian malang tersebut berlaku,” katanya.

BCA berkata pihaknya telah menyiasat peristiwa tersebut dan mengesahkan tarikan itu mematuhi keperluan kawal selia.

Jurucakap Jewel berkata selepas kejadian, kakitangannya segera memberikan rawatan pertolongan kecemasan.

Bantuan perubatan lanjut di dalam lapangan terbang turut ditawarkan namun ditolak oleh ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

“Kami kekal mengambil berat terhadap keadaan kanak-kanak yang cedera itu dan telah berhubung dengan keluarganya,” kata beliau.

Taklimat keselamatan wajib dijalankan sebelum pengunjung dibenarkan memasuki tarikan itu dan merangkumi arahan mengenai tingkah laku yang sesuai, termasuk larangan berlari atau bermain secara kasar.

Peringatan itu turut dipaparkan pada papan tanda di pintu masuk.

Semua kanak-kanak mesti ditemani dan diawasi oleh seorang dewasa bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan keselamatan, selaras dengan syarat pembelian tiket.

Jewel dan BCA menggesa pengunjung supaya mematuhi arahan keselamatan dan memastikan anak mereka berbuat demikian.

Menurut jurucakap Jewel, daya tarikan itu menjalani pemeriksaan tahunan serta semakan keselamatan kawal selia.

‘Walking Net’ diiktiraf sebagai ‘jaring permainan’ dan dikawal selia di bawah Akta Keselamatan Permainan Hiburan.

Canopy Park yang terletak di tingkat lima Jewel dilancarkan pada 2019 dan merangkumi tarikan lain seperti jaring sepanjang 250 meter untuk pengunjung melompat, laluan cermin berliku serta jambatan berlantai kaca sepanjang 50 meter, yang digantung setinggi 23 meter dari aras tanah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg