Seorang pengurus sebuah disko di Geylang Road bersemuka dengan seorang pelanggan yang membuat kacau dengan pisau, menikamnya dua kali di paha untuk “mengajarnya”, dan menyebabkan mangsa berdarah di tangga.
Lee Heng Wong kemudian mencampakkan pisau itu ke dalam besen, memberitahu pelayan bar bahawa dia telah menikam pelanggan itu, dan meneruskan tugasnya.
Tetapi selepas dapat tahu mangsa telah mati, warga Singapura itu melarikan diri ke Malaysia selama lebih 12 tahun sebelum menyerah diri kepada polis Malaysia pada 11 Oktober 2022.
Dua hari kemudian, dia dibawa pulang ke Singapura dan ditangkap pada hari yang sama, lapor The Straits Times.
Pada 18 Oktober, Lee, 55 tahun, dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan perbuatan menyebabkan kematian.
Dia mengaku telah menikam mangsa, mendiang Xi Wei Feng, 23 tahun, seorang warga China, di De Basement Live Disco pada awal pagi 14 Februari 2010.
Pada asalnya, Lee didakwa membunuh, tetapi dakwaannya dikurangkan kepada homisid tanpa sebab yang dinyatakan di mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Brian Tan memberitahu mahkamah bahawa pada awal pagi 14 Februari 2010, mangsa mabuk dan membuat kacau di disko.
Kira-kira 2 pagi, mendiang Xi cuba menendang salah seorang pelanggan di tangga disko itu, tetapi dia hilang keseimbangan dan tergolek ke bawah tangga, kata DPP Tan.
Apabila mendengar kekecohan itu, Lee menyuruh mendiang Xi yang terbaring di bawah tangga supaya beredar, tetapi mangsa jerit memaki dan menendang perutnya.
Lee mengambil pisau di disko, menikam mendiang Xi yang terbaring di tangga sebanyak dua kali dan meneruskan kerjanya, sehingga syif tamat sekitar 4 pagi.
Kira-kira 6.30 pagi, seorang lelaki menghubungi ambulans. Mendiang Xi meninggal dunia di hospital kira-kira sejam kemudian.
Bedah siasat mendapati Encik Xi kehilangan darah sehingga mati.
Dia mungkin dapat diselamatkan jika mendapat rawatan perubatan segera.
Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara 15-18 tahun ke atas Lee.
DPP Timotheus Koh berkata mendiang Xi mungkin berkelakuan agresif, tetapi perbuatan Lee terhadapnya sangat tidak wajar kerana semasa menikam, mangsa hanya terbaring dan tidak menimbulkan sebarang ancaman.
DPP Koh menambah bahawa sikap acuh tak acuh Lee selepas menikam mendiang Xi menunjukkan dia tidak menghiraukan nyawa mangsa.
Peguam Lee, Encik Josephus Tan dan Encik Cory Wong dari Invictus Law Corporation, memohon penjara tidak lebih 11 tahun.
Encik Tan meminta mahkamah memberi pertimbangan sewajarnya kepada penyesalan Lee yang menyerah dirinya secara sukarela kepada pihak berkuasa Malaysia.
Ketika ditanya wartawan mengapa Lee menyerah diri, Encik Tan berkata anak guamnya mahu menutup kes itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg