Pengurus Jabatan Dakwah & Khidmat Masjid Al-Amin kongsi perihal rahmat dan peluang Ramadan buat ummah
Pengurus Jabatan Dakwah & Khidmat Masjid Al-Amin kongsi perihal rahmat dan peluang Ramadan buat ummah
Ramadan, bulan yang sarat kelebihan dan ganjaran, adalah rahmat yang melangkaui batas.
Keistimewaannya bukan hak eksklusif mereka yang berilmu tinggi, lama mendalami agama, atau berkedudukan.
Sebaliknya, rahmat dan peluang Ramadan terbuka luas buat sesiapa sahaja, tanpa mengira latar, tahap ilmu, usia, ataupun kedudukan sosial.
Ini waktu terbaik mendidik jiwa, membersihkan hati, dan memperbaharui ikatan dengan Pencipta.
Setiap amal dilipatgandakan, doa mudah termakbul, dan pintu keampunan terbuka seluasnya.
Yang membezakan kita bukanlah status atau gelaran, tetapi kesediaan hati menyambut bulan ini dengan ilmu, amal, dan ihsan.
Ilmu menuntun ibadah yang benar, amal membuktikan kesungguhan, manakala ihsan menyempurnakan usaha dengan keikhlasan dan rasa kehambaan.
Itulah inti pati perkongsian Ustaz Muhammad Syafiee Mohamed Hassan, Pengurus Jabatan Dakwah & Khidmat di Masjid Al-Amin.
Beliau menegaskan, Ramadan adalah peluang kedua, bahkan yang terbaik, bagi setiap Muslim memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah swt.
Ia bukan sekadar rutin tahunan, bahkan anugerah agung yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya dengan persediaan rohani dan komitmen yang tulus.
Masjid Al-Amin giat menyediakan ruang dan peluang untuk merealisasikan matlamat ini.
Khidmat pembangunan sosialnya menjalankan pelbagai program kemasyarakatan, seperti menghantar juadah iftar/buka puasa dan bubur ke rumah penerima zakat, dan program ‘Carboot’ yang mengumpulkan sumbangan barangan makanan mentah untuk keluarga muda dan mereka yang berkeperluan khas.
Turut dijalankan ialah pengagihan lauk dan kuih Raya pada malam Raya kepada penerima zakat Muis, di samping pelbagai usaha kebajikan lain dalam menyantuni golongan memerlukan.
“Masjid Al-Amin menawarkan pelbagai program untuk memantapkan iman dan kehidupan jemaah melalui program seperti Khataman Al-Quran, Kursus Alam Malaikat, pada 21 Februari 2026 ini, serta kursus praktikal seperti Al-Quran sebagai penawar jiwa Muslimah. Pembelajaran juga boleh diikuti secara digital melalui TikTok, Instagram dan Facebook Masjid Al-Amin.
“Di samping itu, tazkirah dan syarahan mingguan yang padat juga disediakan setiap Jumaat agar penghayatan agama terus hidup dalam masyarakat kita,” jelas Ustaz Muhammad Syafiee.
Beliau turut mengingatkan: “Ramadan hanya berkunjung setahun sekali. Peluang ini tidak wajar ditangguhkan apatah lagi disia-siakan. Selagi hayat masih ada, rebutlah peluang ini dengan penuh kesedaran dan kesungguhan. Ramadan ini, buat keputusan yang jelas: datang, libatkan diri, dan berubahlah.”
Ikuti dan sokong usaha Masjid Al-Amin dengan mengikuti saluran media sosial rasmi masjid bagi mendapatkan maklumat terkini tentang program dan kegiatan yang dianjurkan.
SEKILAS:
Cara menyumbang kepada Masjid Al-Amin:
1. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa DBS 012-009859-6; atau PayNow ke UEN No: S91MQ0008B001 (Masjid Al-Amin).
2. Derma secara langsung di masjid (waktu pejabat) atau dari rumah dengan menghubungi talian 6272-5309. Masjid Al-Amin terletak di 50 Telok Blangah Way, Singapura 098801.
3. Lungsuri https://www.alaminmosque.com/ untuk perincian selanjutnya.

