Pengurus Perkhidmatan Cawangan Utama UOB di Raffles Place, Cik Azlinah Amin, sedang gigih bertugas ketika nilai kerubut emas berada di kemuncaknya pada April, apabila seorang lelaki berusia masuk ke dalam bank.
Lelaki itu bertanya sama ada beliau boleh membeli emas di cawangan tersebut.
Namun, Cik Azlinah, 54 tahun, menyedari lelaki itu sentiasa memeriksa telefon dan menghantar mesej.
Lelaki tersebut ingin membeli emas bernilai $700,000 untuk diserahkan kepada seseorang yang tidak pernah beliau temui.
Namun, berkat kesabaran dan ketekunannya, Cik Azlinah berjaya menyelamatkan lelaki berkenaan daripada kehilangan semua simpanannya kepada sindiket penipuan, lapor The Straits Times (ST).
Pada 7 Oktober, Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) mengadakan Anugerah Pencegahan Jenayah pertama pada majlis makan malam tahunan penghargaan di Hotel Singapore Marriott Tang Plaza untuk mengiktiraf pertubuhan yang membantu mencegah jenayah.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, yang juga Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), menghadiri majlis tersebut, yang menyaksikan 10 pertubuhan diberi anugerah atas sumbangan mereka dalam memerangi jenayah.
Antara penerima anugerah ialah Marina Bay Sands, Meta, Motorola Solutions, UOB, OCBC Bank, Courts, Sheng Siong, Shopee, Singapore Pools, dan TikTok.
Encik Goh berkata: “Sangat menggalakkan melihat semakin banyak syarikat tampil dan bekerjasama dalam menangani cabaran bersama ini – penipuan dalam talian.”
Cik Azlinah dari UOB menceritakan kepada media pada 7 Oktober tentang pertemuannya dengan lelaki tersebut, yang ingin membeli emas dan menyerahkannya kepada orang yang tidak dikenali.
Selepas disoal, lelaki itu mengakui beliau dihubungi oleh seseorang yang mendakwa dari firma pelaburan dan menyuruhnya membeli emas untuk pulangan yang lebih baik.
Beliau kemudian dihubungkan dengan “pegawai rasmi” dari Penguasa Kewangan Singapura (MAS) yang meminta beliau membeli lima kilogram emas untuk diserahkan kepadanya.
Mendengarkan cerita itu, Cik Azlinah menyedari lelaki itu sedang diperdaya oleh penipu untuk membeli emas bernilai $700,000 sebagai pelaburan palsu.
Cik Azlinah mengunci akaun lelaki itu dan menenangkannya selepas beliau mula menyalahkan dirinya sendiri kerana terperangkap dalam penipuan.
Dalam kes lain, Pengurus Penolong Cawangan UOB Tiong Bahru, Cik Jessica Lee, 54 tahun, telah melayan seorang pelanggan wanita yang berusia lewat 50-an tahun yang kelihatan cemas.
Wanita tersebut meminta pengeluaran pramatang untuk deposit tetapnya yang melebihi $15,000. Wanita itu marah apabila Cik Lee bertanya mengapa beliau mahu melakukan perkara itu dan berkeras untuk melakukan pengeluaran tunai.
Namun, bank telah menghentikan pengeluaran tunai apabila Pusat Anti-Penipuan (ASC) mengesahkan wanita tersebut telah menjadi mangsa kepada penipuan apabila seseorang menyamar sebagai pegawai pemerintah.
Cik Lee berkata: “Saya gembira kerana kami berjaya menghalang wang itu daripada hilang. Beliau berkongsi $15,000 itu adalah simpanan hayatnya, hasil kerja keras sebagai pencuci pinggan.”
Dengan mangsa di Singapura kehilangan jumlah rekod sebanyak $1.1 bilion akibat penipuan pada 2024, bank-bank di sini telah memperkenalkan lebih banyak langkah perlindungan untuk memerangi jenayah.
Mulai 15 Oktober, kebanyakan bank utama di Singapura akan melaksanakan langkah keselamatan pada semua urus niaga digital untuk melindungi pelanggan mereka daripada penipuan.
Bank-bank tersebut akan menangguhkan transaksi yang menyebabkan lebih daripada separuh baki akaun dipindahkan keluar selama sehingga 24 jam.
Langkah keselamatan itu akan terpakai untuk semua transaksi perbankan digital yang dilakukan melalui aplikasi bank dan perbankan Internet.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg