Permintaan terhadap kelas agama untuk kaum wanita di Singapura terus meningkat, sama ada secara dalam talian ataupun fizikal.
Keperluan ini wajar dipenuhi, terutama bagi mereka yang bekerja sepenuh atau separuh masa, golongan usahawan serta suri rumah. Walaupun kebanyakan masjid kini bergerak ke arah pendigitalan, masih terdapat segelintir jemaah yang lebih gemar mengikuti kelas secara fizikal.
Walaupun Masjid Alkaff Kampung Melayu sedang menjalani kerja peningkatan, program dan kelas agama tetap diteruskan.
Ini bertujuan memastikan masyarakat sekitar masjid sentiasa berpeluang menimba ilmu, menghadiri kegiatan dan menyaksikan sendiri perkembangan dan proses naik taraf yang rancak dilaksanakan.
Secara tidak langsung, ia mencerminkan komitmen Jabatan Dakwah Masjid Alkaff Kampung Melayu dalam menghidupkan suasana masjid meskipun dalam keadaan semasa.
Menurut Pegawai Dakwah (MRO) Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustazah NurulHuda Muhammad Zulkiffli, walaupun masjid masih dalam proses naik taraf, usaha memastikan pembelajaran tetap diutamakan, termasuk penyediaan kelas khas Al-Quran bagi Muslimah.
“Antara usaha yang diambil oleh Masjid Alkaff Kampung Melayu ialah dengan memperkenalkan satu lagi kelas Al-Quran khusus untuk Muslimah dalam bentuk pembelajaran secara 1-1.
“Pendekatan ini memberikan kelainan berbanding kelas sedia ada pada setiap pagi Selasa, yang hanya menumpukan kepada bacaan Al-Quran secara berjemaah.
“Kelas baru ini tidak hanya menumpukan pada bacaan Al-Quran semata-mata malah terbuka kepada Muslimah yang ingin bermula daripada asas, iaitu pembelajaran Iqra’.
“Setiap kelas yang dijalankan mempunyai matlamat yang jelas, iaitu memastikan pelajar dan tenaga pengajar mencapai hasil pembelajaran yang diharapkan.
“Antara matlamat utama kelas ini ialah memberi bimbingan peribadi kepada pelajar dalam pembelajaran Al-Quran mengikut tahap masing-masing, membantu peserta bermula daripada asas iaitu mengenal huruf dan bacaan, memperbaiki bacaan Al-Quran dengan lebih fokus melalui tunjuk ajar secara individu,” jelas Ustazah NurulHuda.
Kelas Al-Quran terbaru ini akan diadakan pada setiap Rabu selepas solat zuhur, bertempat di aras 2 Dewan Solat Muslimah. Kelas ini akan dikendalikan Ustazah NurulHuda sendiri.
Yuran bulanan sebanyak $10 bagi setiap pelajar. Peserta kelas juga akan diberikan buku catatan untuk merekod prestasi mereka bagi setiap sesi yang dihadiri.
Ustazah NurulHuda menambah, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Sunan Abi Dawud, Rasulullah saw mengingatkan tentang keutamaan menuntut ilmu:
“Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.”
“Hadis ini mengingatkan kita bahawa menuntut ilmu bukan sahaja menambah pengetahuan, bahkan membuka pintu keberkatan, membimbing hati, dan mempermudah perjalanan rohani menuju ke syurga.
“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menambah ilmu, memperkukuh amal, dan pada masa yang sama menyumbang kepada dana pembangunan Masjid Alkaff Kampung Melayu, agar rumah Allah ini terus menjadi pusat ilmu, ibadah, dan kebajikan buat seluruh umat,” tambahnya.
Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:
1. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.
2. Untuk sumbangan, anda boleh membuat pemindahan bank ke dalam akaun OCBC: 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di ruangan ‘Rujukan’, dan e-melkan tangkap layar transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
3. Atau PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
5. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.
* Ikutilahlah Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg