Pengurus operasi di sebuah syarikat pembekal rim dan tayar didenda $30,000 kerana terlibat dalam rasuah semasa berurusan dengan eksekutif katering penerbangan dan pengendali darat Sats yang mahukan pinjaman untuk anaknya yang sakit.
Tertuduh, Dominic Quek Chun Hua, bersetuju dengan pinjaman itu kerana dia tahu pegawai Sats, Leong Poh Keong, cenderung untuk mengesyorkan syarikatnya bagi pelaksanaan tender terbuka.
Dia juga tidak mahu ia menjejas sembarang lanjutan kontrak pada masa depan dengan Sats.
Menurut penghakiman bertarikh 19 Jun, Quek mengaku bersalah atas satu pertuduhan rasuah memberi suapan dalam bentuk tiga pinjaman berjumlah $9,500 kepada Leong antara April 2020 dan Januari 2021.
Satu lagi pertuduhan cuba menghalang siasatan telah diambil kira semasa menjatuhkan hukumannya, lapor akhbar, The Straits Times (ST).
Kes terhadap Leong – yang menurut Sats tidak lagi bersama syarikat itu – masih berjalan.
Menurut penghakiman, syarikat Quek – Tom’s Tyre – menandatangani kontrak dua tahun bernilai $1.44 juta dengan Sats pada Januari 2015.
Ia khusus untuk bekalan, penghantaran dan pembaikan tayar baru dan sedia ada.
Ia disusuli dengan beberapa kontrak lanjutan.
Sekitar penghujung 2019, selepas lanjutan terakhir, Sats memaklumkan Tom’s Tyre dan pembekal tayar lain bahawa ia akan mengadakan tender terbuka untuk perkhidmatan berkaitan tayar bagi tempoh kontrak tiga tahun, dengan pilihan untuk melanjutkannya bagi tempoh dua tahun lagi.
Pada April 2020, Leong, yang merupakan eksekutif latihan, mutu dan projek di pusat penyelenggaraan Sats dan seorang ahli jawatankuasa penilaian tender syarikat, memberitahu Quek anaknya yang tinggal di Vietnam sedang mengalami masalah kesihatan, dan meminta pinjaman.
Quek, yang tahu bahawa lanjutan kontrak pada masa depan bersama Sats akan dinilai oleh Leong, membincangkan pinjaman itu bersama bapanya yang menerajui Tom’s Tyre, dan mereka bersetuju untuk memberikannya pinjaman.
Leong kemudian meminta Quek untuk dua lagi pinjaman, yang Quek berikan.
Timbalan Pendakwa Raya, Encik Bryan Wong, meminta Quek agar dijatuhi hukuman penjara antara tiga dengan empat minggu, manakala peguam Quek, Encik Lee Teck Leng dari Legal Clinic, mengemukakan denda sehingga $25,000.
Dalam melaksanakan denda itu, Hakim Daerah Encik John Ng berkata Quek tidak memulakan atau menawarkan pinjaman.
Dia juga tidak meminta atau mengharapkan Leong bertolak ansur dengan tugasnya di Sats.
Beliau menambah bahawa Quek telah berkenalan dengan Leong pada sekitar 2019 dan sudah ada perjanjian kontrak sedia ada antara Sats dengan Tom’s Tyre sebelum Leong meminta pinjaman pada 2020 dan 2021.
“Perjanjian kontrak itu berterusan walaupun selepas episod rasuah oleh Leong timbul,” kata hakim.
Pihak pendakwa telah membuat rayuan terhadap hukuman itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg