Rezeki tidak salah alamat.
Itulah pengalaman bagi Encik Hafiz Zainal, 39 tahun, pemilik perniagaan pakaian lelaki, Ghettomen Clothing, yang telah menjual pakaiannya di acara dagangan Celebfest pada 7 hingga 9 Mac di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec.
Antara pakaian yang dijual semasa acara itu termasuk kurta, kopiah dan seluar kargo, keluaran khas edisi Hari Raya.
Jenama ini berkonsep gaya pakaian siar ataupun ‘streetwear’.
Acara tersebut diakhiri dengan satu kejutan bagi Encik Hafiz, yang juga memiliki satu lagi perniagaan menyediakan pakaian tempahan khas, Ghettomen Productions.
Mengongsi apa yang berlaku padanya menerusi satu hantaran di media sosial, Encik Hafiz telah menerima mesej daripada seorang pelanggan yang ingin membeli semua baki kurta dewasa daripada acara itu, yang kesemuanya berjumlah hampir 100 helai.
Pada awalnya, beliau tidak percaya namun setelah pelanggan itu mendedahkan sebab ingin membeli dan juga identitinya kepada Encik Hafiz, beliau berasa tersentuh dan bersyukur.
Pelanggan tersebut merupakan seorang ‘VIP’ dan penyokong lama jenama itu.
Untuk mendapat keanggotaan VIP jenama itu, pelanggan harus berbelanja $200 dalam satu resit.
Antara manfaat VIP adalah diskaun 10 peratus kepada barangan baru dan juga tambahan diskaun 10 peratus terhadap barangan promosi.
Menerusi mesej di Instagram, pelanggan itu telah menyatakan hasrat untuk membeli baki kurta dewasa, tidak kira saiz dan warna, dan ingin menyumbangkan kesemua kurta itu kepada mereka yang memerlukan.
“Alhamdulillah, ada yang ingin beli semua stok kurta dewasa. Baki saya ada 89 helai, dalam saiz S, M dan 4XL,” ujar Encik Hafiz kepada Berita Harian (BH).
Pelanggan tersebut meminta diskaun 40 peratus, diskaun yang telah ditetapkan untuk hari terakhir acara Celebfest.
Harga asal satu kurta ialah $55, dan setelah diskaun, setiap kurta berharga $33.
Menurut hantaran dalam media sosial, pelanggan itu berkata bahawa beliau berminat dengan produk, reka bentuk dan mutu Ghettomen Clothing dan ingin mendermakannya agar orang lain juga dapat menikmati jenama tersebut.
Selain itu, beliau turut memerhatikan sikap pekerja di Ghettomen Clothing, yang tampak semuanya ikhlas bekerja dan peramah dengan para pelanggan lain.
Encik Hafiz menambah bahawa sebelum acara tersebut, beliau menghadapi cabaran kerugian yang besar.
Beliau sepatutnya turut menjual kurta untuk kanak-kanak. Namun, terdapat masalah pada bekalan pakaian itu.
Walaupun semuanya sudah dibayar dan diterima, Encik Hafiz tidak dapat menjual stok tersebut.
“Saya pun tak pasti jika pelanggan ini ingin menolong saya kerana dugaan yang dihadapi sebelum ini.
“Tetapi itulah dia, Allah ada rancangan untuk kita semua. Satu hari rugi, satu hari untung,” kata Encik Hafiz, yang berterima kasih kepada semua pelanggan yang telah menyokong jenamanya sejak 2017.
Sebagai tanda terima kasih atas sokongan pelanggan itu, Encik Hafiz dan pasukannya telah menghantar kurta-kurta itu secara peribadi kepada pelanggannya pada malam 13 Mac.
“
“Alhamdulillah, ada yang ingin beli semua stok kurta dewasa. Baki saya ada 89 helai, dalam saiz S, M dan 4XL... Saya pun tak pasti jika pelanggan ini ingin menolong saya kerana dugaan yang dihadapi sebelum ini. Tetapi itulah dia, Allah ada rancangan untuk kita semua. Satu hari rugi, satu hari untung.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg