Pengusaha makanan dan minuman (F&B) di Punggol East Container Park akan tetap meneruskan rancangan perniagaan masing-masing meskipun empat penyewa utama di Punggol East dan Tebing Lane bakal ditawarkan lanjutan tempoh sewa sehingga setahun, iaitu hingga akhir 2027.

Antara mereka ialah Tara Na by Easy Eatz SG, yang akan meneruskan rancangan berpindah ke Punggol Golf Course pada November.

Pemilik Tara Na by Easy Eatz SG, Cik Nurnisa Jonson, bersama suaminya, Encik Imran Gazali, telah mendapatkan lokasi baharu di Punggol Golf Course selepas dimaklumkan bahawa mereka perlu meninggalkan premis mereka di Punggol Container Park menjelang 31 Oktober.
Pemilik Tara Na by Easy Eatz SG, Cik Nurnisa Jonson, bersama suaminya, Encik Imran Gazali, telah mendapatkan lokasi baharu di Punggol Golf Course selepas dimaklumkan bahawa mereka perlu meninggalkan premis mereka di Punggol Container Park menjelang 31 Oktober. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pemiliknya, Cik Nurnisa Jonson, berkata lokasi baharu itu masih berdekatan dengan Punggol East Container Park, sekali gus membolehkan pelanggan sedia ada terus mendapatkan makanan mereka dengan mudah.

“Kami akan berpindah ke kedai baharu bulan depan (November), insya-Allah. Kedai baharu kami terletak di Punggol Golf Driving Range, yang berdekatan dengan Punggol Container Park.”

Menurutnya, lokasi baharu itu masih dekat bagi pelanggan yang sering datang atau membuat pesanan penghantaran dari kawasan ini.

BH sebelum ini melaporkan Cik Nurnisa menandatangani perjanjian sewa di Punggol East Container Park dari Februari hingga Disember 2026.

The Smok Hous telah melancarkan The Smok Hous Concepts, di Kandahar Street selepas pengumuman bahawa peniaga F&B perlu kosongkan premis lebih awal.
The Smok Hous telah melancarkan The Smok Hous Concepts, di Kandahar Street selepas pengumuman bahawa peniaga F&B perlu kosongkan premis lebih awal. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Sementara itu, jurucakap The Smok Hous berkata mereka masih menantikan pengesahan rasmi mengenai kemungkinan tempoh sewa premisnya di 50 Punggol East dilanjutkan.

“Buat masa ini, kami belum menerima sebarang pengesahan hitam putih mengenai lanjutan kontrak kami di Punggol. Jadi, kami masih menunggu mereka hubungi kami untuk mengesahkan perkara ini,” katanya.

Pemilik The Smok Hous, Encik Isrudy Shaik, antara pengendali F&B di Punggol East Container Park yang terjejas.
Pemilik The Smok Hous, Encik Isrudy Shaik, antara pengendali F&B di Punggol East Container Park yang terjejas. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Encik Isrudy, yang menerajui The Straits Cattle Trading, bagaimanapun telah mengembangkan konsep The Smok Hous, ke 28 Kandahar Street minggu lalu, menggantikan jenamanya Rostii, yang dibuka pada awal 2026.

Konsep baharu itu mengetengahkan hidangan seperti nasi lemak dengan daging salai brisket dan burnt ends.

Perkembangan mengenai lanjutan sewa itu diumumkan Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, Cik Yeo Wan Ling, menerusi Facebook pada 3 Oktober.

Beliau berkata agensi berkaitan telah menyemak dan membuat penyesuaian pada garis masa pembangunan selepas beliau bertemu mereka bagi membincangkan kebimbangan perniagaan mengenai tempoh sewa yang bakal tamat.

Menurut jurucakap Penguasa Tanah Singapura (SLA), empat penyewa utama ditawarkan lanjutan tempoh sewa sehingga setahun – hingga akhir 2027 – ialah City Sprouts, Sing See Soon Floral & Landscape, Sports Hub @ Punggol dan AT Punggol.

Menurut Cik Yeo, lanjutan sehingga akhir 2027 itu akan memberi lebih banyak masa kepada perniagaan untuk merancang peralihan dan kesinambungan operasi mereka, tertakluk pada syarat penyewaan dan peraturan berkaitan.

Agensi termasuk SLA, JTC Corporation, Lembaga Taman Negara (NParks) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) juga akan terus membantu perniagaan terjejas mencari premis alternatif, termasuk pilihan di kawasan Punggol jika tersedia.