Beberapa pengendali makanan dan minuman (F&B) di Punggol Container Park terkejut selepas dimaklumkan mereka perlu mengosongkan premis masing-masing pada 31 Oktober, lebih awal daripada yang dijangkakan berdasarkan tempoh penyewaan mereka.

Punggol Container Park di 50 Punggol East kini menempatkan sekira-kiranya enam perniagaan F&B, dengan dua daripadanya dimiliki peniaga Muslim.

Antara yang terjejas ialah The Smok Hous dan kedai makanan Filipina, Tara Na by Easy Eatz SG.

Pemilik Tara Na by Easy Eatz SG, Cik Nurnisa Jonson bersama suaminya, Encik Imran Gazali.  Pasangan itu telah mendapatkan lokasi baru di Punggol Golf Course selepas dimaklumkan bahawa mereka perlu meninggalkan premis mereka di Punggol Container Park menjelang 31 Oktober.
Pemilik Tara Na by Easy Eatz SG, Cik Nurnisa Jonson bersama suaminya, Encik Imran Gazali. Pasangan itu telah mendapatkan lokasi baru di Punggol Golf Course selepas dimaklumkan bahawa mereka perlu meninggalkan premis mereka di Punggol Container Park menjelang 31 Oktober. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL

Pemilik Tara Na, Cik Nurnisa Jonson, berkata beliau hanya dimaklumkan pada Ogos bahawa mereka perlu meninggalkan tapak itu pada akhir Oktober.

Ini walaupun beliau telah menandatangani perjanjian dari Mac hingga Disember 2026 dan sebelum ini diberitahu terdapat kemungkinan tempoh sewa itu diperbaharui.

“Apabila kami dapat tahu yang kami perlu berpindah pada akhir Oktober, kami rasa semuanya berlaku terlalu cepat,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Berita itu lebih mengejutkan kerana Cik Nurnisa menjangkakan dapat berniaga sehingga hujung tahun, terutama semasa musim Krismas dan sambutan akhir tahun, yang merupakan tempoh penting bagi pelanggan masyarakat Filipina.

Tara Na bermula sebagai perniagaan dari rumah (HBB) sebelum permintaan yang tinggi mendorong pasangan itu membuka kedai fizikal.

Menurut Cik Nurnisa, perniagaannya boleh menerima ratusan tempahan dalam sehari sehingga beliau meyakinkan suaminya, yang ketika itu bekerja sebagai jurutera, untuk meninggalkan pekerjaannya dan mengusahakan perniagaan tersebut bersama-sama.

Beliau berkata suasana Punggol Container Park yang dikelilingi alam semula jadi turut menjadi antara tarikan lokasi tersebut dan membezakannya daripada restoran Filipina lain.

Walaupun sedih meninggalkan tempat itu, Cik Nurnisa telah mendapatkan lokasi baru di Punggol Golf Course.

Katanya, beliau bertindak pantas mencari lokasi baru kerana bimbang tidak mempunyai tempat untuk menampung permintaan pelanggan semasa musim perayaan, selain mempunyai tanggungjawab terhadap kebajikan kakitangannya.

Pemilik The Smok Hous, Encik Isrudy Shaik, turut berkata beliau tidak menjangkakan perlu meninggalkan premis seawal Oktober.

Pemilik The Smok Hous, Encik Isrudy Shaik, antara pengendali F&B yang terjejas dan perlu mengosongkan premisnya di Punggol Container Park menjelang 31 Oktober.
Pemilik The Smok Hous, Encik Isrudy Shaik, antara pengendali F&B yang terjejas dan perlu mengosongkan premisnya di Punggol Container Park menjelang 31 Oktober. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL

Berdasarkan perjanjian penyewaan The Smok Hous yang dilihat BH, premis di 50 Punggol East itu disewa bagi tempoh setahun sebulan, bermula 1 Disember 2025 dan berakhir 31 Disember 2026.

Encik Isrudy berkata ketika mendapatkan premis itu, beliau memahami bahawa kontraknya merupakan kontrak tahunan dan menjangkakan ada kemungkinan untuk menyambungnya selepas Disember.

“Bila saya dapat kontrak, saya ingat pada Disember nanti saya boleh sambung setahun lagi,” katanya.

Beliau berkata beliau hanya melakukan pengubahsuaian minimum kerana sedar kontrak tersebut diperbaharui secara tahunan. Namun, beliau tidak menjangkakan perlu keluar dua bulan sebelum tempoh sewanya berakhir.

Menurutnya, tempoh singkat untuk berpindah menimbulkan cabaran besar bagi perniagaan F&B.

“Untuk dapatkan kedai baru, kita perlukan kira-kira tiga bulan untuk merancang, dapatkan kelulusan SFA (Agensi Makanan Singapura), sediakan bayaran dan lakukan pengubahsuaian. Semua itu melibatkan kos yang tinggi dan kami sepatutnya dimaklumkan lebih awal,” katanya.

Encik Isrudy kini sedang mencari lokasi baru tetapi berkata konsep The Smok Hous sukar dibawa ke pusat beli-belah kerana daya tarikannya bergantung kepada ruang terbuka dan dagingnya yang harus disalai.

Sekiranya lokasi sesuai tidak ditemui, beliau mungkin menghentikan sementara operasi The Smok Hous dan memberi tumpuan kepada perniagaannya yang lain, Asap & Co.

“November dan Disember adalah tempoh sibuk kami. Jadi ini akan menjejas operasi bukan sahaja bagi saya, malah perniagaan F&B lain di sini juga,” katanya.

Persoalan turut timbul mengenai tempoh penyewaan sesetengah peniaga yang sepatutnya berlanjutan melepasi tarikh pengosongan 31 Oktober.

Tara Na berkata perjanjiannya sepatutnya berakhir pada Disember, manakala dokumen penyewaan The Smok Hous yang dilihat BH menunjukkan tempoh sewanya hingga 31 Disember 2026.

Namun, kedua-dua peniaga berkata mereka hanya dimaklumkan pada Ogos bahawa mereka perlu mengosongkan premis menjelang 31 Oktober.

Mesej mengenai tarikh pengosongan yang dilihat BH dan bertarikh awal Ogos turut menyatakan bahawa penyewa perlu meninggalkan tapak tersebut menjelang 31 Oktober.

BH difahamkan bahawa City Sprouts merupakan penyewa utama (master tenant) bagi tapak 50 Punggol East.

Berdasarkan dokumen penyewaan yang dilihat BH pula, syarikat D’Heart disenaraikan sebagai tuan tanah bagi The Smok Hous.

BH telah menghubungi City Sprouts dan D’Heart bagi mendapatkan penjelasan, termasuk mengenai tempoh penyewaan peniaga dan bila mereka dimaklumkan bahawa tapak tersebut perlu dikosongkan, namun belum menerima respons.

Punggol East Container Park telah menjadi destinasi F&B di kawasan tersebut sejak 2017.

City Sprouts di 50 Punggol East menempatkan pelbagai kegiatan dan perniagaan, termasuk ruang semaian, kemudahan bola pikel serta Punggol Container Park yang menempatkan beberapa pengendali F&B.
City Sprouts di 50 Punggol East menempatkan pelbagai kegiatan dan perniagaan, termasuk ruang semaian, kemudahan bola pikel serta Punggol Container Park yang menempatkan beberapa pengendali F&B. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL

Kawasan itu kemudian melalui perubahan dengan penambahan pelbagai kegiatan selain F&B.

Pada 7 Mei 2023, City Sprouts melancarkan Life Sprouts di 50 Punggol East. Ia diperkenalkan sebagai ruang masyarakat dengan program yang memberi tumpuan antara lain kepada alam semula jadi, penuaan aktif, kemampanan, seni dan budaya.

Kini, selain enam perniagaan F&B, kawasan tersebut turut mempunyai kegiatan lain termasuk kemudahan bola pikel, ruang semaian dan kegiatan lain.

BH difahamkan, pengendali ruang bola pikel dan tapak semaian sudah dimaklumkan seawal bulan Jun.

Menurut Pelan Induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), tapak berkenaan diperuntukkan bagi kegunaan “kediaman dengan komersial di tingkat satu”.

Antara kegunaan yang disenaraikan URA bagi kategori tanah tersebut termasuk flat dengan ruang komersial di tingkat satu, rumah kedai serta pembangunan kediaman seperti flat.

Namun jenis pembangunan khusus yang akan dibina di tapak itu belum dapat dipastikan berdasarkan Pelan Induk tersebut.