Musim perayaan seperti Krismas dan Tahun Baru yang bakal menjelang dalam masa seminggu dua ini menjadi saat yang dinanti-nantikan pemilik perniagaan dari rumah (HBB) Encik Zahid Ali, Cik Sasya Alisa Foxx dan Cik Zainab Idris.
Melalui penjualan pelbagai jenis kerepek dan biskut, mereka berpeluang menjana pendapatan sampingan, bahkan melihat musim perayaan ini membawa peningkatan dalam tempahan golongan yang lebih sukakan air tangan peniaga dari rumah dan bukannya hasil pengeluaran kilang.
Menurut tiga peniaga HBB yang ditemui Berita Harian (BH) ini, tempahan pada musim perayaan ini lazimnya lebih tinggi berbanding hari-hari biasa, meskipun tidak setanding dengan permintaan yang memuncak semasa Hari Raya.
Namun begitu, peningkatan ini tetap memberi peluang kepada mereka untuk memperluaskan pasaran dan menarik lebih ramai pelanggan.
Tambahan pula, pelanggan gemar memilih makanan buatan sendiri yang bermutu disebabkan sentuhan peribadi yang sukar didapati dalam produk komersial yang dihasilkan secara besar-besaran.
Apa yang lebih menarik perhatian pelanggan ialah bungkusan kreatif dalam bentuk hamper, yang bukan sahaja cantik dipandang tetapi juga sesuai dijadikan hadiah istimewa.
Gabungan rasa buatan sendiri dan pembungkusan yang menarik menjadikan perniagaan mereka lebih menonjol pada musim perayaan ini.
Bercakap kepada BH di rumahnya di Fernvale Link, pemilik perniagaan HBB, J’s Kitchen Makmok, Encik Zahid, 47 tahun, berkata jualan menjelang musim Krismas pada 2024 telah meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
“Disebabkan musim perayaan, lebih ramai orang mengadakan acara rumah terbuka bagi tetamu dan keluarga mereka.
“Secara semula jadi, mereka mahu membeli kudapan seperti keropok, sesuatu yang ditawarkan oleh perniagaan saya.”
Menurut Encik Zahid, perniagaan yang dibuka sejak 2018 ini menyiapkan kerepek unik menggunakan kulit popia berperisa.
Bersama ibu saudaranya, Cik Zainab Idris, 61 tahun, mereka menawarkan hamper yang disesuaikan bagi setiap musim perayaan supaya pelanggan boleh memberinya kepada keluarga dan handai taulan sebagai hadiah.
Sebagai contoh, bagi perayaan Krismas, hamper dihias dengan reben merah cukup menarik perhatian, ditambah lagi dengan daun hiasan menyerupai pokok Krismas, menjadikannya hadiah sesuai untuk musim perayaan tersebut.
Walaupun menawarkan pelbagai perisa, perisa seperti Seaweed Salted Egg (telur asin rumpai laut), Spicy Cheese (keju pedas), dan Classic Salted Egg (telur asin) terus menjadi kegemaran pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada warga Filipina berusia antara 30 hingga 50 tahun.
“Hamper yang disesuaikan untuk Hari Raya atau Krismas memberi pelanggan saya peluang untuk menjadikannya hadiah,” tambah Encik Zahid yang mengendalikan bahagian pemasaran bagi J’s Kitchen Makmok.
Sementara itu, Cik Sasya, 39 tahun, yang menguruskan Foxy Delights turut melihat peningkatan dalam jualan biskutnya.
Menjalankan tugasnya sebagai ejen penjual di Singapura, Cik Sasya mengimport biskut dari Heavenly Choco, sebuah kedai bakeri di Malaysia, sekurang-kurangnya sebulan sekali.
“Walaupun tidak setinggi musim Raya, kami tetap menjangkakan permintaan yang lebih tinggi pada musim Krismas dan Tahun Baru ini, khususnya daripada pelanggan kami yang kebanyakannya terdiri daripada ibu bapa muda,” tambah Cik Sasya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg