Perniagaan tempatan digalak meneroka dan memanfaatkan potensi besar di Timur Tengah.
Menyatakan demikian dalam catatan Facebooknya pada 20 Disember, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata “dengan meneroka di luar negara, anda (peniaga tempatan) dapat memperluaskan pangkalan pelanggan, mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengukuhkan daya tahan perniagaan”.
Beliau berkata demikian sempena acara Gastronomi Saudi-Singapura yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi, minggu ini.
Acara itu mengemukakan inovasi dan mutu produk makanan buatan Singapura, memberi peniaga peluang menembusi pasaran Timur Tengah.
Dengan kehadiran perniagaan tempatan di Timur Tengah, masyarakat Arab Saudi boleh mendapatkan produk buatan Singapura seperti bihun, minyak bijan, rempah ratus dan produk pes berasaskan tumbuh-tumbuhan.
“Saya bangga dengan para peniaga yang telah mengambil peluang ini untuk meluaskan pasaran mereka ke Arab Saudi,” kata Encik Masagos.
Sebelum ini, Singapura telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Arab Saudi pada Oktober 2023 yang merupakan perjanjian pertama Arab Saudi dengan sebuah negara dengan masyarakat minoriti Muslim, tambahnya.
MOU tersebut memberi pengiktirafan bersama sijil halal antara kededua negara.
Perniagaan Singapura, yang kini lebih berpeluang berkembang ke pasaran baru, dapat memperkenalkan lebih banyak produk yang disahkan halal oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Perniagaan Arab Saudi turut dapat berbuat demikian dengan memperkenalkan produk mereka di Singapura.
Encik Masagos berkata MOU itu “mencerminkan kepercayaan dan jaminan kukuh terhadap piawaian halal Singapura”.
Semasa lawatannya ke Riyadh pada Januari, Encik Masagos telah meneroka peluang perniagaan di Saudi Arabia bersama beberapa pemimpin perniagaan Singapura.
Peluang demikian digambarkan sebagai peluang perniagaan yang “menawarkan prospek yang menarik untuk para peniaga”.
Encik Masagos menggalakkan perniagaan tempatan supaya meneroka dan memanfaatkan potensi besar yang ditawarkan Timur Tengah.
Singapura dan Arab Saudi akan terus mengukuhkan hubungan dua hala dan mewujudkan peluang bagi peniaga Singapura berkembang maju di rantau itu, tambah beliau.
“Dengan hubungan dua hala kami di tahap Kerjasama Strategik, saya alu-alukan perluasan kerjasama merentasi pelbagai bidang yang berbeza di luar sektor haji dan umrah,” kata Encik Masagos.
Menurut Kedutaan Singapura di Riyadh dalam catatan di Facebook pada 19 Disember, lebih 50 produk makanan Singapura tersedia untuk masyarakat di Arab Saudi semasa acara pembukaan Gastronomy Saudi-Singapura pada 18 Disember.
Turut hadir pada acara itu ialah Duta Singapura, Encik Premjith Sadasivan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg