Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) menyeru pemerintah supaya memberi bantuan kewangan yang berterusan bagi perniagaan dan melanjutkan tempoh skim kredit gaji sedia ada dalam senarai harapan Belanjawan 2025.
Bantuan kewangan boleh diberi melalui cukai pendapatan korporat dan rebat sewa, serta Skim Pembiayaan Perusahaan, kata Snef pada 17 Disember.
“Langkah ini akan mengurangkan tekanan kos jangka pendek dan memberi perniagaan ruang untuk melabur dalam keupayaan strategik jangka panjang, yang akhirnya akan menjadikan mereka lebih produktif dan menyokong pertumbuhan gaji yang lebih baik untuk pekerja,” jelasnya.
Snef menambah bahawa usaha pemerintah menyokong pekerja bergaji rendah melalui skim seperti Model Gaji Progresif (PWM) dan menaikkan Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan (LQS) baru-baru ini dialu-alukan, namun kenaikan gaji perlu disokong oleh pertumbuhan produktiviti agar ia kekal mampan.
Persekutuan itu menyeru supaya Skim Kredit Gaji Progresif dipertingkat dan tempohnya dilanjutkan selepas 2026, untuk membantu menampung kesan kos PWM dan LQS.
Untuk membantu mengurangkan kos majikan melatih pekerja, Snef menyeru supaya pembiayaan berterusan melalui Kredit Perusahaan SkillsFuture – atau skim yang setara – serta peningkatan gaji tidak hadir.
Untuk menggalakkan perniagaan menggunakan kecerdasan buatan (AI), Snef turut menyeru agar lebih banyak subsidi diberikan bagi latihan berkaitan AI di bawah Siri Program Latihan SkillsFuture (Ekonomi Digital).
“Pekerja yang dilatih dengan lebih baik akan dapat menguasai AI untuk memperbaiki tahap produktiviti dan inovasi, terutama dalam bidang yang mengalami kekurangan pekerja dan kekosongan pekerjaan yang berterusan,” katanya lagi.
Bagi menyokong pekerja lanjut usia pula, Snef memohon pemerintah supaya melanjutkan tempoh Kredit Pekerjaan Warga Emas melepasi 2025 dan memperkenalkan “geran berbilang generasi baru untuk menyokong rancangan penggantian, pembaharuan kepimpinan dan memupuk kerjasama merentas generasi di tempat kerja”.
Mengenai pengenalan 10 minggu tambahan cuti ibu bapa, Snef akur pemerintah akan membiayai peruntukan cuti tambahan, tetapi menarik perhatian bahawa perniagaan mungkin masih perlu menanggung kos tambahan bagi mendapatkan pengganti sementara.
Untuk menangani isu itu, Snef mencadangkan kepada pemerintah supaya memberi subsidi kewangan bagi mengendali kos tersebut dan juga memberi elaun bulanan kepada pekerja yang harus memikul tanggungjawab tambahan semasa rakan sekerja mereka bercuti.
Ia turut menyeru kelonggaran sementara diberikan bagi pengesahan pas kerja, kerana ini boleh membantu perniagaan menangani kekosongan tenaga kerja dan memenuhi tarikh akhir projek tanpa gangguan.
“Cadangan kami bagi Belanjawan 2025 bertujuan meringankan beban kewangan semasa perniagaan menghadapi kos meningkat dan keperluan tenaga kerja yang berkembang.
“Kami komited bekerjasama dengan rakan tiga pihak kami bagi memastikan daya bingkas ekonomi Singapura, daya saing perniagaan dan tempat kerja yang terangkum buat semua,” kata Presiden Snef, Encik Tan Hee Teck.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg