Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Peniaga yakin jualan positif walau skala bazar Geylang lebih kecil

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Peniaga yakin jualan positif walau skala bazar Geylang lebih kecil

Jan 13, 2024 | 06:40 PM



Walaupun Bazar Raya Geylang Serai 2024 akan dianjurkan pada skala lebih kecil berbanding tahun lalu, beberapa peniaga tetap optimis tentang penjualan mereka kerana menjangka persaingan yang kurang sengit sekali gus membolehkan mereka memasarkan produk dan perkhidmatan dengan lebih berkesan.

Menurut kenyataan Wisma Geylang Serai (WGS) pada 12 Januari, Bazar Raya Geylang Serai 2024 dijangka mempunyai 500 gerai, berbanding 700 gerai pada 2023 disebabkan kerja naik taraf di sekitar Geylang Serai dan Joo Chiat Complex.

Penasihat utama WGS, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata:

“Walaupun bazar tahun ini lebih kecil, dengan semangat #SemangatRaya, WGS akan menganjurkan Penyalaan Lampu Hari Raya (HRLU), persembahan pentas harian yang menampilkan artis tempatan dan luar negara, serta usaha lain untuk menarik pengunjung dan mewujudkan suasana Ramadan dan Hari Raya yang meriah untuk semua.”

Pengarah bersama kedai pakaian, Haji Abdullah & Sons Pte Ltd dan Glamour@Muzika, Encik Feroz Abdullah, berpendapat bahawa jumlah gerai yang berkurangan akan membantu meningkatkan jualan bagi penyewa gerai bazar.

“Ini memandangkan persaingan yang tidak sengit seperti dahulu. Dari sudut pandangan pelanggan, pilihan untuk mereka membuat perbandingan akan berkurangan.

“Ini sekali gus meningkatkan peluang kami (penyewa gerai) untuk dipilih dan dikunjungi pelanggan kerana kami tidak perlu bersaing dengan banyak gerai lain,” ujarnya.

Encik Feroz, yang sudah berkecimpung dalam bidang perniagaan pakaian sejak awal 1980-an, berkata beliau telah memperhatikan trend bazar yang berbeza selama bertahun-tahun lalu.

Menurutnya, orang ramai kini suka meninjau pakaian Raya menerusi dalam talian seperti media sosial tetapi mereka masih membeli di kedai kerana mahu memastikan saiz dan warna baju.

“Oleh itu, saya sekarang mengeluarkan pos media sosial untuk memantau minat pelanggan. Dengan bazar yang lebih kecil, saya akan fokus lebih kepada pemasaran media sosial supaya dapat menarik pelanggan untuk datang ke gerai saya,” jelas Encik Feroz.

Berkongsi sentimen serupa, pengasas kedai makan, Burgers Oleh Danny OneStar, Muhamad Iqbal Abdul Razak, berkata bazar berskala kecil akan membawa kebaikan kepada penyewa gerai. Beliau kini dalam proses untuk mendapatkan gerai di Bazar Raya Geylang Serai 2024.

“Bazar lebih kecil dan lebih khusus, akan menjadikan sesetengah produk makanan menjadi lebih terhad dan eksklusif, sekali gus meningkatkan daya maju dan populariti gerai itu.

“Sebagai contoh, saya menjual burger “berserak” dan jika terdapat hanya dua atau tiga gerai lain yang menjual burger juga, ia bermakna pelanggan lebih berkemungkinan membeli daripada saya kerana persaingan semakin berkurangan,” jelasnya.

Apabila diminta mengulas lebih lanjut, pengarah eksekutif syarikat yang mengendalikan bazar pada 2024, S-Lite Event Support Pte Ltd, Cik Joyce Ang, menekankan bahawa bazar berskala kecil tidak bermakna pengalaman yang kurang menarik.

“S-Lite akan terus membawa masuk gerai-gerai popular di kalangan pengunjung dan bekerjasama rapat dengan WGS untuk mengatur susun program dan kegiatan bagi menarik pengunjung ke bazar,” tambahnya.

Walaupun dengan jumlah gerai lebih rendah, peniaga juga tidak khuatir yang minat pelanggan untuk mengunjunginya akan terjejas.

“Saya rasa bilangan pelanggan tidak akan terjejas kerana bazar raya sering kali disinonimkan dengan masyarakat Melayu jadi saya yakin orang tetap akan datang.


“Jika bilangan pelanggan turun tahun ini, saya rasa ia bukan kerana jumlah gerai di bazar Geylang yang berkurangan, tetapi disebabkan kewujudan bazar lain di kawasan seperti Woodlands dan Bugis,” ujar Encik Muhamad Iqbal.

Antara pelanggan tetap Bazar Raya Geylang Serai ialah Encik Mohd Hussin Alqadry yang masih berminat untuk mengunjungi bazar walaupun terdapat lebih kurang gerai.

Beliau mengharapkan bazar lebih tertumpu kepada masyarakat Melayu kerana “bazar lalu terlalu fokus dalam konsep moden dari segi makanan, baju dan permainan karnival”.

Seorang lagi penggemar bazar, Encik Mohd Johaan Aziz, berharap acara pelancaran HRLU pada tahun ini akan meriuhkan lagi suasana Hari Raya.

“Saya harap suasana itu akan disebarkan kerana saya rasa bazar tahun lalu hilang motif sebenar yang sepatutnya untuk persiapan Hari Raya,” katanya.

WGS juga mengumumkan pada 12 Januari bahawa buat kali pertama, setiap gerai makanan dan minuman (F&B) di bazar akan menawarkan dua barang makanan pada harga $3 setiap satu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >