Program pemulihan DRC: Banduan temui motivasi baru bersama anak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program pemulihan DRC: Banduan temui motivasi baru bersama anak

Feb 9, 2026 | 7:46 PM

Program pemulihan DRC: Banduan temui motivasi baru bersama anak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
banduan, pesalah, peluang, kedua
Eman (kanan,bukan nama sebenarnya), 36 tahun ketika duduk bersama wartawan Berita Harian, Luqmanul Hakim Ismail, berkongsi bagaimana beliau memanfaatkan program pemulihan dan integrasi, serta bimbingan daripada pegawai integrasi. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Eman (bukan nama sebenar), 36 tahun, telah empat kali meringkuk di penjara semuanya kerana kesalahan dadah.

Sepanjang tempoh itu, beliau dibelenggu keruntuhan rumah tangga, dan hubungannya dengan ibu bapa kian renggang.

Namun, yang paling menghantui, beliau terlepas peluang menyaksikan anak lelakinya membesar daripada bayi hingga remaja di sebalik tirai besi.

Kini, anak tunggalnya yang berusia 12 tahun menjadi obor motivasi utamanya dan Eman bertekad untuk tidak lagi kembali ke kancah penyalahgunaan dadah.

Berbekalkan iltizam itu, beliau baru sahaja mulakan Program Berasaskan Masyarakat (CBP) selama dua bulan di Rumah Peralihan Selarang dan berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai pemandu penghantaran.

Kadar pesalah dadah mengulangi kesalahan dalam tempoh dua tahun selepas dibebaskan menunjukkan penurunan.

Kadar kerentanan dua tahun bagi penyalahguna dadah Pusat Pemulihan Dadah (DRC) menjunam 4.7 mata peratusan – daripada 30.8 peratus bagi kohort dibebaskan 2022 kepada 26.1 peratus bagi kohort 2023.

Kadar kerentanan dua dan lima tahun bagi pesalah lain sedikit meningkat, namun kekal stabil secara keseluruhan, menurut Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

Ini diumumkan oleh SPS dan Reben Kuning Singapura (YRSG) semasa taklimat statistik tahunan mereka pada 9 Februari di Rumah Peralihan Selarang.

SPS dan YRSG mengaitkan peningkatan kadar tersebut kepada rejim pemulihan dadah berasaskan bukti, yang disokong oleh rangkaian sokongan masyarakat daripada rakan mereka.

Sekitar Disember 2025, Eman menyertai program pemulihan dan integrasi semula berjudul SOUL yang membekalkannya dengan motivasi berterusan, kemahiran mengendalikan situasi berisiko tinggi, mengatasi masalah dan menjalani kehidupan secara berkesan.

Banduan seperti Eman, iaitu pesalah di bawah pengawasan Penyelia Masyarakat di DRC, akan melalui 10 hingga 12 sesi di bawah program SOUL sebagai permulaan kepada pemulihan dan integrasi semula.

Eman juga menerima bimbingan khas daripada Pegawai Integrasi Semula Komand Pemulihan Masyarakat di SPS, Ketua Warder 1 (CW1) Muhammad Isa Kemut.

CW1 Isa mengadakan sesi pertemuan berkala dengan Eman dan bekerjasama dengannya untuk merangka pelan mencegah relaps.

Pelan tersebut bertujuan mengukuhkan sikap bertanggungjawab diri, mendirikan rutin positif, dan membantu Eman menyesuaikan diri ke dalam masyarakat dengan lancar.

“Prioriti dalam enam bulan pertama di DRC ialah untuk membantu banduan mencari pekerjaan dan kedudukan kewangan yang stabil, sambil membina semula hubungan dengan keluarga mereka. Selain itu, kami membantu banduan kemahiran komunikasi dan untuk mengemudi pelbagai masalah sehingga mereka berdikari,” jelas CW Isa.

Eman berkata, “Program SOUL membantu saya mengawal emosi dengan lebih baik. Apabila terjerumus dengan dadah, emosi saya sering tidak stabil.”

Hasilnya, Eman lebih yakin ‘berhenti dan memikir’ dahulu apabila dibelenggu fikiran negatif dalam usaha mengelak penyalahgunaan dadah.

Eman juga bersyukur atas sokongan bekas majikannya, yang sudi memberikannya peluang bekerja semula.

“Saya sedar saya sepatutnya mendengar nasihat orang seperti ini. Sebelum ini, saya abaikan mereka, tetapi nasihat mereka sebenarnya baik untuk masa depan saya,” tambah Eman.

Cinta terhadap keluarga kekal sebagai motivasi utama dalam perjalanan pemulihannya.

Menjelang Ramadan, Eman mengimbau kembali rasa kesal tidak dapat berpuasa dan meraikan Hari Raya bersama anak tunggalnya, yang kini dijaga ibunya.

“Dulu, orang selalu bertanya kepada anak saya, ‘Di mana ayah?’. Anak saya hanya buat-buat tidak tahu, tetapi saya tahu ia sukar dihadapinya seorang diri,” kongsi Eman.

Kini, beliau teruja menanti peluang menyambut bulan suci dan Hari Raya yang pertama di luar penjara.

Walaupun proses pemulihan masih di peringkat awal, Eman menaruh harapan tinggi:

“Walaupun saya masih ada pemikiran negatif, kali ini, saya tidak akan berputus asa. Saya akan berusaha mati-matian sehingga mencapai matlamat saya” tegasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg