Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peningkatan paras laut: Pemerintah kaji khusus tapak Pulau Sentosa, pantai barat daya

Mar 4, 2025 | 6:57 PM
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan langkah perlindungan pantai terhadap peningkatan paras laut, PUB sedang menjalankan dua lagi kajian khusus tapak untuk Pulau Sentosa dan pantai barat daya, yang akan dimulakan menjelang 2026.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan langkah perlindungan pantai terhadap peningkatan paras laut, PUB sedang menjalankan dua lagi kajian khusus tapak untuk Pulau Sentosa dan pantai barat daya, yang akan dimulakan menjelang 2026. - Foto fail

Agensi air negara PUB sedang menjalankan dua lagi kajian khusus di tapak untuk Pulau Sentosa dan pantai barat daya, yang akan dimulakan menjelang 2026, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan langkah perlindungan pantai terhadap peningkatan paras laut, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.

Bercakap di Parlimen pada 4 Mac semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), Cik Fu merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa Belanjawan 2025 berhubung Dana Perlindungan Kawasan Pantai dan Banjir, yang ditokok sebanyak $5 bilion.

Dana itu pertama kali diumumkan pada 2020 dengan nilai permulaan $5 bilion untuk membiayai perlindungan pantai dan infrastruktur saliran.

“Pemerintah bercadang menggunakan dana daripada Belanjawan tahunan, Dana Perlindungan Kawasan Pantai dan Banjir, yang mana Menteri Kewangan telah mengumumkan tokokan sebanyak $5 bilion, dan melalui peminjaman.

“Jika layak, seperti untuk kos tebus guna tanah, kami juga akan menggunakan rizab lepas.

“Kami akan terus mengkaji cara terbaik untuk membiayai langkah-langkah ini dengan cara yang mampan dari segi fiskal dan saksama merentas generasi,” jelas Cik Fu sebagai menjawab soalan Cik Nadia Samdin (GRC Ang Mo Kio) mengenai pembiayaan usaha perlindungan pantai.

PUB mengetuai dan menyelaras usaha perlindungan pantai melibatkan pemerintah.

Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) akan mengetuai kajian khusus di tapak untuk Pulau Sentosa dan menyelaraskan langkah perlindungan pantai dengan rancangan pembangunannya yang akan datang, menurut satu kenyataan bersama MSE dan PUB pada 4 Mac.

Kajian itu, yang meliputi kira-kira 16 kilometer tepian pantai, akan mengambil kira fungsi Pulau Sentosa sebagai destinasi pelancongan dan riadah.

Sementara itu, kawasan kajian khusus tapak di pantai barat daya pula akan meliputi kira-kira 116 kilometer garis pantai dari Tuas hingga Pasir Panjang, yang akan diketuai PUB.

Kawasan itu kebanyakannya digunakan untuk perindustrian tepi laut, kemudahan pelabuhan, seperti Pelabuhan Tuas dan terminal Pasir Panjang, serta kawasan rekreasi seperti West Coast Park.

Untuk menyokong pelaksanaan pelan perlindungan pantai, MSE dan PUB akan mencadangkan perundangan baru pada separuh kedua 2025.

Tujuan perundangan itu adalah untuk menggariskan tanggungjawab pihak berkepentingan, melindungi tanah untuk langkah-langkah perlindungan pantai, dan memastikan pematuhan dengan piawaian perlindungan pantai, tambah kenyataan tersebut.

PUB akan melibatkan pihak berkepentingan, termasuk agensi awam yang berkaitan dan pemilik tanah pantai swasta, dalam merumuskan perundangan baru itu.

Selain itu, PUB merancang untuk melancarkan Kod Amalan (COP) bagi perlindungan pantai pada separuh pertama 2026.

Seperti COP sedia ada PUB untuk saliran air permukaan, COP perlindungan pantai akan menyediakan satu set piawaian untuk industri mengenai reka bentuk, pembinaan, dan operasi pelbagai struktur perlindungan pantai di Singapura.

PUB juga sedang menyediakan buku panduan Perkembangan Tahan Banjir (FRD) baru untuk melengkapkan COP bagi perlindungan pantai.

Buku panduan tersebut bakal mengandungi garis panduan dan kajian kes yang boleh membantu pemilik tanah membuat keputusan tentang cara meningkatkan ketahanan banjir tanah dan premis mereka.

Input daripada pakar industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mengumpul maklum balas dalam merumuskan kandungan COP dan buku panduan FRD 2025 akan diusahakan oleh PUB.

“Pemerintah bercadang menggunakan dana daripada Belanjawan tahunan, Dana Perlindungan Kawasan Pantai dan Banjir, yang mana Menteri Kewangan telah mengumumkan tokokan sebanyak $5 bilion, dan melalui peminjaman... Kami akan terus mengkaji cara terbaik untuk membiayai langkah-langkah ini dengan cara yang mampan dari segi fiskal dan saksama merentas generasi.”
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg