Sekitar 41,000 kucing peliharaan telah dilesenkan sejak Singapura melancarkan rangka kerja pengurusan kucing yang pertama, dengan hampir semuanya dikembirikan.
Demikian menurut Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) pada 1 September.
Diperkenal pada 1 September 2024, skim pelesenan bagi kucing peliharaan yang wajib itu menghendaki semua kucing dipasang mikrocip dan dilesenkan bagi tujuan pengesanan.
Pada akhir Ogos 2025, sebanyak 95 peratus kucing berlesen telah dikembirikan, manakala lebih 41,500 individu, yang kebanyakannya pemilik kali pertama, telah selesai mengikuti kursus wajib pemilikan haiwan peliharaan dalam talian.
Rangka kerja itu diperkenal bagi meningkatkan kesihatan dan kebajikan kucing, melindungi kesihatan awam dan haiwan, serta memastikan pemilik kucing bertanggungjawab dalam penjagaan kucing mereka.
Sejak pelancarannya, AVS telah mengadakan 45 pemasangan mikrocip dan pelesenan percuma di serata Singapura, membantu lebih 8,000 kucing.
Lagi 500 ekor kucing dipasang mikrocip melalui kerjasama klinik veterinar.
Bagi isi rumah berpendapatan rendah, lebih 1,300 kucing telah dikembirikan dan dipasang mikrocip tanpa kos di bawah program Sokongan Kembiri Kucing Peliharaan (PCSS).
Kucing masyarakat juga turut terlibat dengan lebih 1,600 kucing diletakkan di bawah program Langkah Perangkap-Kembiri-Cari Rumah Baru atau Lepaskan Secara Terurus (TNRM) setakat Februari 2025.
TNRM adalah pendekatan berperikemanusiaan untuk menstabilkan jumlah kucing terbiar.
Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, berkata:
“Kami telah mencapai kemajuan yang ketara sejak melancarkan rangka kerja pengurusan kucing setahun lalu (2024) untuk meningkatkan kesihatan dan kebajikan kucing kami.
“Sambutan setakat ini menggalakkan, dan kami akan terus bekerjasama dengan masyarakat untuk menyokong pemilik kucing dan menjaga kucing masyarakat kami.”
Pelesenan adalah percuma semasa tempoh peralihan hingga Ogos 2026.
Selepas itu, bayaran akan dikenakan – $35 untuk lesen sekali bagi kucing yang disterilkan, dan hingga $230 untuk lesen tiga tahun bagi kucing yang tidak disterilkan.
Mulai 1 September 2026, memelihara kucing tidak berlesen adalah satu kesalahan di bawah Akta Haiwan dan Burung, dengan denda sehingga $5,000.
Memasuki tahun kedua sejak skim pelesenan itu diperkenal, Encik Tan, dalam satu hantaran Facebook pada 1 September berkata:
“Kami akan memberi tumpuan kepada usaha yang lebih disasarkan, termasuk menyokong pemilik kucing daripada isi rumah berpendapatan rendah melalui program pemasangan mikrocip dan pensterilan percuma, menganjurkan program libat urus serta sesi pemasangan mikrocip percuma di kawasan yang menerima lebih banyak maklum balas mengenai masalah berkaitan kucing.
“Usaha TNRM untuk kucing masyarakat juga akan diteruskan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg