Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjaga tinggal serumah bantu ibu dalam pantang urus diri dan bayi

Jan 12, 2025 | 5:30 AM
Pasangan Encik Khairil Asyraf Ali (paling kiri) dan Cik Iffa Khalissa Ishak (kanan) mendapatkan bantuan seorang penjaga ibu berpantang, Cik Jamilah Saad, yang menguruskan bayi Khalif Aiden Khairil Asyraf.
Pasangan Encik Khairil Asyraf Ali (paling kiri) dan Cik Iffa Khalissa Ishak (kanan) mendapatkan bantuan seorang penjaga ibu berpantang, Cik Jamilah Saad, yang menguruskan bayi Khalif Aiden Khairil Asyraf. - Foto ihsan IFFA KHALISSA ISHAK

Memikul tanggungjawab sebagai ibu buat pertama kali ternyata bukan mudah sehingga Cik Iffa Khalissa Ishak kerap mendapati dirinya rasa letih dan gelisah termasuk tidak keruan tatkala mendengar bayi lelakinya melalak tanpa henti.

Namun, kehadiran seorang penjaga kepada ibu dalam pantang di rumahnya banyak menenangkan dirinya sedang beliau membuat peralihan kepada fasa baru keibuan.

Mengimbau kembali tempoh berpantang beliau beberapa tahun lalu, Cik Iffa, kini 31 tahun, berkata:

“Minggu pertama selepas bersalin merupakan yang paling mencabar. Apa yang anda sangat perlukan merupakan waktu tidur yang cukup.

“Banyak peralihan dan penyesuaian yang perlu dilakukan. Hampir rasa tak tahan kerana perlu bangun daripada tidur setiap dua jam sepanjang hari. Justeru saya sangat menghargai beliau (penjaga ibu berpantang).”

Pada Oktober 2021, tatkala melahirkan anak sulungnya, Cik Iffa mendapatkan khidmat seorang penjaga yang menginap di rumahnya selama sebulan untuk menjaga keperluan harian beliau dan bayinya.

Ini memandangkan ibu Cik Iffa masih bekerja dan beliau tidak mahu membebankan ibunya untuk bersamanya sepanjang masa bagi memantau keadaan beliau dan bayinya yang baru lahir.

Menerusi khidmat itu, penjaga tersebut, Cik Jamilah Saad atau beliau gelar sebagai Cik Milah, menjaga dan memandikan bayinya, memasak makanan sihat untuk beliau.

Cik Milah juga bantu melakukan kerja rumah asas seperti membasuh bajunya dan bayi, yang menurut Cik Iffa, banyak memudahkan urusannya.

Khidmat itu didapatkan menerusi seorang kenalan.

“Saya hargai pengalamannya yang luas. Walaupun beliau mengingatkan saya tentang beberapa amalan berpantang seperti elak makanan sejuk dan pastikan saya memakai stoking, beliau tidak beri saya tekanan.

“Perkara seperti ini, meski nampak remeh, adalah penting untuk memastikan tubuh saya dapat beransur pulih dengan baik.

“Yang penting sekali, saya hargai masakannya yang sentiasa segar baru dimasak. Saya tidak perlu memesan makanan tingkat bagi ibu berpantang yang ditawarkan syarikat,” ujarnya yang menambah bahawa menu ditawarkan penjaganya itu pelbagai, termasuk hidangan Cina seperti ayam hitam yang dipercayai lebih sihat daripada ayam putih.

Meskipun perlu berbelanja $3,800 bagi khidmat tersebut, yang menurut Cik Iffa adalah harga pasaran waktu itu, beliau mendapati bahawa itulah keputusan yang terbaik yang dibuatnya.

Ia disebabkan kehadiran seorang penjaga dapat memberi beliau ruang serta masa untuk mendapatkan rehat yang mencukupi.

Lagipun, katanya, banyak yang dapat dipelajari sebagai ibu kali pertama termasuk cara mengurus bayi yang sedang meragam.

Dengan pengalaman yang diraih waktu itu, Cik Iffa tidak lagi mendapatkan khidmat penjaga ibu berpantang setelah bersalin anaknya yang kedua pada 2024.

“Saya lebih yakin menguruskan diri dan bayi. Saya tidak lagi takut akan beberapa hal, seperti ketika bayi saya melalak pada tengah malam.

“Kalau dahulu saya dan suami akan panik dan kelam kabut tetapi sekarang kami lebih tenang... ia penting untuk mempunyai sokongan yang kukuh pada tahap awal,” tambah beliau yang mempunyai perniagaan bunga sendiri.

Walaupun akui bahawa khidmat sebegini belum lagi popular dalam kalangan rakan-rakannya yang berbangsa Melayu, Cik Iffa berkata ia mungkin menjadi satu keperluan lama-kelamaan dalam zaman moden ini.

Ini disebabkan ia tidak begitu mudah bagi ibu dalam pantang mendapatkan bantuan ibu bapa mereka terutama jika mereka masih bekerja.

“Saya sangat sarankan aturan begini untuk ibu kali pertama yang ibu mereka sendiri masih bekerja dan belum bersara.

“Bak pepatah Inggeris, ia memerlukan seluruh kampung untuk membesarkan seorang anak, dan pada zaman ini dengan ‘kampung’ kita lebih kecil, kita perlu terima hakikat bahawa kadangkala kita memerlukan pertolongan orang luar daripada keluarga yang akan membantu kita meniti perjalanan ini,” katanya dengan positif.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg