Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjaga warga senja demensia tanggung beban penjagaan lebih tinggi

Warga berusia 60 tahun ke atas yang hadapi kemurungan pula naik 4.4% pada 2023 berbanding 3.7% pada 2013
Aug 28, 2024 | 8:02 PM
Dapatan kajian Kebajikan Warga Emas Singapura (WiSE) 2023 kendalian Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati penjaga bagi warga senja yang mengalami demensia menanggung beban penjagaan lebih tinggi berbanding penjaga warga senja yang tidak mengalami demensia.
Dapatan kajian Kebajikan Warga Emas Singapura (WiSE) 2023 kendalian Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati penjaga bagi warga senja yang mengalami demensia menanggung beban penjagaan lebih tinggi berbanding penjaga warga senja yang tidak mengalami demensia. - Foto ST

Penjaga bagi warga senja yang mengalami demensia menanggung beban penjagaan lebih tinggi berbanding penjaga warga senja yang tidak mengalami demensia, berdasarkan dapatan kajian Kebajikan Warga Emas Singapura (WiSE) 2023 kendalian Institut Kesihatan Mental (IMH).

Dapatan utama kajian tersebut dikongsi bersama media dalam sesi taklimat pada 28 Ogos di IMH.

Kajian itu dijalankan ke atas seramai 2,010 warga Singapura dan penduduk tetap berusia 60 tahun ke atas dan hampir 1,800 penjaga warga emas, dari Mac 2022 hingga September 2023, menurut kenyataan IMH.

Hasil kajian itu menunjukkan 37 peratus penjaga bagi warga senja yang mengalami demensia menanggung beban penjagaan berbanding 18.2 peratus penjaga bagi warga emas yang tidak mengalami demensia.

Kajian itu turut mendapati sekitar 88 peratus daripada golongan warga senja yang mengalami demensia memerlukan penjagaan berbanding 15.6 peratus daripada golongan warga emas yang tidak mengalami demensia.

Bersangkutan itu, 62.3 peratus daripada golongan warga senja dengan demensia memerlukan penjagaan hampir sepenuh masa berbanding 5 peratus daripada golongan warga emas tanpa demensia.

Kadar itu lebih tinggi berbanding dapatan kajian WiSE pertama pada 2013 dengan 57.4 peratus daripada golongan sedemikian memerlukan penjagaan hampir sepenuh masa.

Mengulas tentang peningkatan tersebut, Penyelidik Utama Bersama kajian tersebut, Profesor Madya Mythily Subramaniam, menjelaskan terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan hal sedemikian.

Antaranya, beliau menggariskan kemungkinan golongan sedemikian yang mendapatkan penjagaan di rumah berbanding badan masyarakat.

Beliau, yang juga Penolong Pengerusi, Lembaga Perubatan (Penyelidikan) IMH, menambah terdapat kemungkinan bahawa golongan penjaga warga senja itu sendiri sudah berusia dan telah mencecah usia senja serta mengalami demensia.

Namun lebih banyak perlu dilakukan untuk mengenal pasti puncanya, kata beliau.

Tekanan psikologi juga didapati lebih tinggi dalam kalangan penjaga bagi warga senja dengan demensia (11.9 peratus) berbanding penjaga bagi warga senja tanpa demensia (6.5 peratus).

Sementara itu, warga senja berusia 60 tahun ke atas yang menghadapi kemurungan naik 4.4 peratus pada 2023 berbanding 3.7 peratus pada 2013.

Ini bermakna dalam jangka sedekad, satu dalam 23 individu warga senja menghadapi kemurungan berbanding seorang dalam 27 individu.

Kajian itu mendapati terdapat beberapa faktor yang barangkali terkait dengan kemurungan dalam kalangan warga emas itu iaitu tahap pendidikan, status perkahwinan dan kaum.

Berkenaan pendidikan, golongan warga senja yang tidak menamatkan sekolah rendah menanggung risiko empat kali ganda menghadapi kemurungan berbanding mereka yang mempunyai pendidikan tinggi.

Bagi status perkahwinan pula, golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang telah berpisah menanggung risiko hampir empat kali ganda menghadapi kemurungan berbanding golongan sama yang berkahwin.

Risiko golongan warga emas berbangsa India adalah lebih tinggi untuk menghadapi kemurungan berbanding golongan Cina manakala bagi kaum Melayu, risiko tersebut tidak banyak berbeza berbanding golongan Cina.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg