Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenjagaan warga emas mewah dari $8k/bulan di Kovan mula operasi, pertama seumpamanya di S’pura
Projek pembangunan kediaman dan kemudahan bagi warga emas, Perennial Living, yang memulakan fasa pertama operasinya pada 18 Ogos, ingin membangunkan satu ekosistem yang dapat menetapkan penanda aras baharu dalam penjagaan warga emas swasta untuk golongan berkemampuan.
Pengerusi eksekutif dan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat hartanah dan penjagaan kesihatan, Perennial Holdings, Encik Pua Seck Guan, berkata: “Memandangkan penduduk Singapura semakin menua, kami percaya terdapat peluang untuk mentakrifkan semula kehidupan warga emas.”
“Visi kami bagi Perennial Living adalah untuk mencipta lebih daripada sekadar tempat untuk menerima penjagaan. Kami mahu membina sebuah masyarakat yang meriah di mana warga emas dapat terus hidup secara berdikari, disokong oleh penjagaan perubatan bersepadu, layanan yang penuh prihatin serta pengalaman gaya hidup yang bermakna.
Beliau menambah bahawa kemudahan itu bertujuan meningkatkan bukan sahaja jangka hayat, tetapi juga mutu hidup warga emas.
Encik Pua berharap kemudahan itu dapat mencapai kadar penghunian 30 peratus menjelang Ogos 2027.
“Apabila model ini semakin diterima pasaran, kami sepatutnya mencapai kadar penghunian 80 peratus dalam tempoh dua tahun, dan menyasarkan untuk mencapai titik pulang modal dalam tempoh dua tahun,” katanya kepada The Straits Times (ST).
Merentasi 195,000 kaki persegi dan terletak di 28 Parry Avenue di Kovan, projek kediaman bantuan hidup mewah bernilai $260 juta itu menampilkan pusat Perennial Wellness, yang menawarkan penjagaan perubatan, terapi pemulihan dan perkhidmatan Perubatan Tradisional Cina (TCM), di samping layanan lima bintang, makanan, kemudahan dan perkhidmatan lain.
Fasa pertama operasi merangkumi 200 unit kediaman dengan bantuan kehidupan seharian, Perennial Wellness dan restoran The Olive, sebuah restoran yang menawarkan hidangan sepanjang hari yang disediakan oleh cef dan pakar pemakanan dari dapur pusat Wilmar International, pemegang saham utama Perennial dan syarikat agribisnes tersenarai di Singapura.
Pakej bantuan hidup asas untuk kediaman studio 330 kaki persegi bermula pada $8,000 sebulan, manakala suit dua bilik seluas 565 kaki persegi bermula daripada lebih $13,000 sebulan, dengan kadar bergantung pada saiz, susun atur, tingkat dan arah mana dihadapi unit tersebut.
Setiap unit dilengkapi dengan siling tinggi, tingkap dari lantai ke siling, dapur kecil dan, bagi kebanyakan unit, akses lif peribadi.
Teknologi pintar seperti langsir kawalan jauh, lampu sensor pergerakan, sistem tindak balas kecemasan 24 jam, peranti pemantauan sisi katil, pengesanan kejatuhan dan akses pengecaman wajah turut disertakan.
Pakej bantuan hidup merangkumi penginapan, pembersihan secara tetap, khidmat mengemas kamar, hidangan utama, penggunaan semua kemudahan, peralatan kecergasan dan kekuatan, serta akses kepada kegiatan sosial dan kesejahteraan.
Fasa kedua operasi yang merangkumi rumah penjagaan jururawat 100 katil, kini dibuka untuk tempahan dan dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2026.
