Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjaja tidak dijangka rugi jual hidangan mampu milik

Sep 24, 2025 | 7:34 PM
Singapura, Parlimen, pusat penjaja, SEHC, Pusat Penjaja Keusahawanan Sosial,Pusat Penjaja Bukit Canberra
Pusat Penjaja Bukit Canberra adalah satu-satunya Pusat Penjaja Keusahawanan Sosial (SEHC) yang mewajibkan penyediaan hidangan percuma, dan syarat ini telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada para penjaja. - Foto ZAOBAO

Penjaja tidak dijangka mengalami kerugian daripada menjual hidangan mampu milik, kerana mereka sepatutnya telah mengambil kira perkara ini semasa merundingkan sewa dengan pengendali, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan, di Parlimen, pada 24 September.

Menurut Cik Goh, hidangan mampu milik ini berbeza daripada skim di Pusat Penjaja Bukit Canberra yang pernah mewajibkan penjaja menyediakan hidangan percuma.

Isu ini menimbulkan perdebatan dalam talian selepas pengkritik makanan, Encik K.F. Seetoh, meluahkan kebimbangan pada Ogos mengenai syarat kontrak yang menghendaki penjaja menanggung kos menyediakan hidangan untuk golongan memerlukan.

Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik He Ting Ru, bertanya sama ada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) membenarkan pengendali pusat penjaja meletakkan syarat tersebut di dalam kontrak.

Beliau turut meminta panduan mengenai kesesuaian amalan sebegini dalam kontrak akan datang.

Cik Goh berkata Pusat Penjaja Bukit Canberra adalah satu-satunya Pusat Penjaja Perusahaan Sosial (SEHC) yang mewajibkan penyediaan hidangan percuma, dan syarat ini telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada para penjaja.

Menurut Cik Goh, skim yang diperkenalkan pada 2011 ini bertujuan untuk menyediakan pilihan makanan lebih luas bagi anggota masyarakat.

“Penjaja yang memutuskan untuk meneruskan penyewaan gerai di pusat tersebut… pastinya telah mengambil kira kos berkenaan dalam pertimbangan perniagaan mereka,” jelas Cik Goh.

AP Encik Foo Cexiang (GRC Tanjong Pagar), Encik Louis Chua (GRC Sengkang), Encik Gerald Giam (GRC Aljunied), Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang) dan Encik Ng Shi Xuan (GRC Sembawang) turut bertanya mengenai rancangan pemerintah bagi SEHC, serta sama ada pendekatan semasa akan disemak semula.

Cik Goh berkata pengendali pusat penjaja di bawah SEHC diwajibkan melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan makanan kekal mampu milik sebagai sebahagian syarat tender.

Sehingga kini, pengendali SEHC telah melaksanakan perkara ini dengan menyediakan sekurang-kurangnya satu set hidangan bernilai (value meal) di setiap gerai, dengan penjaja diberi ruang untuk mengusulkan hidangan tersebut, tambahnya.

Cik Goh berkata pengendali akan menjelaskan keperluan menyediakan hidangan sebegitu kepada penjaja terlebih dahulu, sebelum mereka menandatangani perjanjian sewa.

“Pengendali juga akan menyemak harga hidangan bernilai dari semasa ke semasa dan sebelum ini pernah menaikkan harga berdasarkan maklum balas daripada penjaja,” tambah beliau.

Encik Chua bertanya sama ada NEA akan menetapkan garis panduan bagi hidangan mampu milik dan percuma, dan bukannya menetapkan syarat tersebut di dalam kontrak. 

Menjawab soalan itu, Cik Goh berkata penjaja tidak dijangka mengalami kerugian menjual hidangan mampu milik.

Menurut Cik Goh, hidangan bernilai menyumbang antara 5 dengan 20 peratus daripada jumlah hidangan yang dijual oleh seorang penjaja.

Cik Goh berkata pengendali diwajibkan mengadakan sesi maklum balas setiap suku tahun bersama penjaja mereka.

Sesi ini, yang turut dihadiri wakil NEA, memberi ruang kepada penjaja untuk mengemukakan kebimbangan atau cadangan bagi memperbaiki operasi pusat penjaja. 

Pendekatan ini telah membawa kepada penambahbaikan, kata Cik Goh, dengan memberi contoh pengendali yang meneroka pilihan kos lebih rendah selepas menerima maklum balas mengenai kos gas yang tinggi.

Cik Goh berkata sejak 2018, pemerintah telah menetapkan garis panduan bagi perjanjian sewa untuk melindungi kepentingan penjaja.

Antaranya, tidak mewajibkan gerai dibuka lebih daripada lima hari seminggu serta menetapkan had bayaran yang boleh dikenakan pengendali kepada penjaja jika mereka melanggar kontrak.

Pegawai NEA juga lazimnya hadir semasa penandatanganan perjanjian sewa dan akan meminta pengendali menyemak syarat kontrak, jika perlu, jelas Cik Goh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg