Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjara, rotan bagi pesalah berulang, tahan wanita sebagai tebusan di Yishun

Jul 30, 2024 | 6:55 PM
Mohamed Faizal Mohamed Ariff telah memutuskan untuk menggunakan seorang wanita sebagai perisai kerana dia mahu melarikan diri daripada pihak berkuasa. Faizal pernah disabitkan dengan penggunaan dadah jenis morfin pada 2014 dan dijatuhi hukuman penjara dan rotan.
Mohamed Faizal Mohamed Ariff telah memutuskan untuk menggunakan seorang wanita sebagai perisai kerana dia mahu melarikan diri daripada pihak berkuasa. Faizal pernah disabitkan dengan penggunaan dadah jenis morfin pada 2014 dan dijatuhi hukuman penjara dan rotan. - Foto FACEBOOK DINO KARISHMA

Pesalah berulang yang menahan seorang wanita berusia 60 tahun dengan bersenjatakan pisau di Yishun Ring Road pada Januari 2023 telah dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun sebulan dengan enam sebatan rotan.

Hukuman dijatuhkan Mahkamah Negara pada 30 Julai, lapor akhbar The Straits Times.

Pada 28 Mei lalu, Mohamed Faizal Mohamed Ariff, 43 tahun, mengaku bersalah atas setiap satu tuduhan mengambil dadah, membuat gangguan, melakukan penculikan dan menyerang seorang anggota polis.

Dalam prosiding awal, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Delicia Tan berkata, Faizal sebelum ini disabitkan dengan penggunaan dadah jenis morfin pada 2014, dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun enam bulan dengan tiga sebatan.

Selepas dibebaskan, tertuduh kembali kepada tabiat menyalahguna dadah selepas dia menghisap dadah jenis methamphetamine, juga dikenali sebagai ‘Ice’, pada Jun 2022.

Pada pagi 9 Januari 2023, setelah mengambil dadah, dia dilihat berjalan di sekitar Yishun sambil memegang pisau.

Seorang saksi menghubungi polis dan pegawai polis tiba di tempat kejadian kira-kira 7.45 pagi.

Wanita berusia 60 tahun itu sedang duduk di meja di kolong Blok 108, Yishun Ring Road, sambil menunggu anak saudaranya apabila dia ternampak Faizal.

Dia lantas berdiri dan menuju ke kedai kopi berhampiran.

Sementara itu, Faizal ternampak anggota polis dan tahu mereka sedang mencarinya.

Dia ternampak wanita itu berhampiran laluan pejalan kaki dan memutuskan untuk menggunakan beliau sebagai perisai kerana dia mahu melarikan diri daripada pihak berkuasa.

DPP Tan memberitahu mahkamah: “Tertuduh menghampiri mangsa dari belakang, meletakkan lengan kirinya di leher mangsa sambil memegang pisau di tangan kanannya dan mengacukannya ke leher mangsa.

“Dia kemudian menarik mangsa ke arah yang dikehendakinya... Mangsa takut dan akur dengan tertuduh.”

Pegawai polis cuba menenangkannya dan meminta dia membebaskan wanita itu, tetapi dia enggan.

Lebih ramai anggota polis tiba di tempat kejadian dan akhirnya berjaya merampas senjata dan menahan Faizal berhampiran sebuah kedai kopi di Blok 110, Yishun Ring Road, sejurus sebelum 8.10 pagi.

Wanita itu mengalami luka di mukanya tetapi tidak mendapatkan rawatan perubatan.

Dalam kereta polis, Faizal melemparkan kata-kata kesat ke arah seorang anggota polis berusia 26 tahun dan melutut rusuk bawahnya di sebelah kiri.

Faizal, yang mengadu sakit dada, dibawa ke Hospital Besar Changi di mana dia memberikan sampel air kencing, yang didapati mengandungi kesan methamphetamine.

Bagi tuduhan penculikan, seseorang pesalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda, dirotan atau dijatuhi apa-apa gabungan hukuman sedemikian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg