Penjawat awam di Singapura tidak lama lagi perlu menghadiri kursus mandatori kecelikan kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi era dipacu AI, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.
Kursus tersebut akan mempertingkat tahap penggunaan AI yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan awam, dan melengkapi latihan kepimpinan digital untuk pemimpin di peringkat yang berbeza, tambah beliau.
Encik Gan berkata perkhidmatan awam mesti bersikap terbuka untuk menggunakan AI dalam tugas dan menggalak pasukan mereka melakukan yang sama.
“Perniagaan telah pun menggunakannya (AI) untuk mempertajam daya saing dan mewujudkan nilai baru, sama ada untuk memacu produktiviti lebih besar, mencipta produk dan perkhidmatan baru, mempercepatkan masa ke dalam pasaran, atau untuk mempertingkat pengalaman pelanggan.
“Perkhidmatan Awam bukan hanya perlu mengikuti perubahan ini, malah menjadi peneraju dalam menggunakan alat dipacu AI untuk mentadbir dengan lebih baik dan berkhidmat dengan lebih baik,” kata beliau.
Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berkata demikian semasa berucap di majlis kepimpinan perkhidmatan awam tahunan yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands pada 19 September.
Hari ini, sekitar sepertiga daripada 150,000 pegawai perkhidmatan awam menggunakan pembantu AI dalam sektor (in-house), dipanggil Pair, untuk menyokong tugas penyelidikan dan penulisan, kata beliau.
Bahkan, ramai yang telah melangkah lebih jauh, dengan pegawai telah mencipta lebih 16,000 bot AI yang disesuaikan sejauh ini untuk mengautomasikan tugas dan mempertingkat daya tindak balas.
Encik Gan menambah bahawa mereka turut melihat budaya inovasi yang semakin berkembang, dengan pegawai mengambil bahagian dalam hackathon dan program inkubator untuk menangani masalah operasi yang nyata.
Namun begitu, Encik Gan berkata penggunaan AI sahaja bagaimanapun tidak mencukupi, dengan AI mesti digunakan secara bermakna.
“Kita sudah boleh melihat nilai AI dalam pelbagai kes.
“Kita harus mencabar pasukan kita untuk memikirkan kes penggunaan yang bermakna dalam setiap bidang masing-masing, di mana kita boleh menggunakan huraian dipacu AI untuk meningkatkan perkhidmatan dan hasil.
“Kita juga mesti menyedari bahawa kes penggunaan AI berimpak tinggi bergantung pada asas digital yang kukuh seperti tadbir urus dan keupayaan yang baik. Dan kita mesti memperdalam keupayaan AI kita,” kata beliau.
Dalam ucapannya itu, Encik Gan turut berkata perkhidmatan awam telah memainkan peranan penting dalam transformasi Singapura sepanjang 60 tahun lalu sejak kemerdekaan, dengan perkhidmatan awam berada “di tengah-tengah setiap bab” pembangunan Singapura.
Beliau menyerlahkan tiga kekuatan perkhidmatan awam – keupayaan merancang untuk jangka panjang, pragmatisme dan melaksanakan rancangan dan dasar dengan tekad dan disiplin.
Encik Gan berkata tiga ciri itu kekal penting tetapi dunia semakin rumit, dengan anjakan ekonomi dan geopolitik sejagat, serta kemunculan AI dan teknologi lain serta pandangan yang lebih pelbagai dalam kalangan rakyat Singapura.
“Tahun-tahun mendatang menuntut lebih banyak lagi. Kita mesti kekal tangkas, menerima dan bersedia untuk era AI dan terus mengukuhkan kepercayaan dengan rakyat Singapura,” kata beliau.
“
“Perniagaan telah pun menggunakannya (AI) untuk mempertajam daya saing dan mewujudkan nilai baru, sama ada untuk memacu produktiviti lebih besar, mencipta produk dan perkhidmatan baru, mempercepatkan masa ke dalam pasaran, atau untuk mempertingkat pengalaman pelanggan. Perkhidmatan Awam bukan hanya perlu mengikuti perubahan ini, malah menjadi peneraju dalam menggunakan alat dipacu AI untuk mentadbir dengan lebih baik dan berkhidmat dengan lebih baik.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg