Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program robotik galak pelajar Melayu/Islam pupuk minat dalam bidang Stem

Sep 15, 2025 | 10:49 PM
Sharael Taha, madrasah aljunied, robot wars
Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha (kiri), beramah tamah dengan peserta daripada Madrasah Aljunied Al-Islamiah semasa program, ‘Robot Wars’ yang diadakan di Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias pada 14 September. - Foto MENDAKI

Walaupun belia Melayu/Islam kurang diwakili dalam pertandingan robotik di peringkat kebangsaan, program seperti, Robot Wars, menyediakan ruang selamat bagi mereka meneroka bidang robotik, mengasah kemahiran dan memupuk minat mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem), kata Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha.

Program Robot Wars itu dianjurkan oleh M Kuasa Tiga (M³) @ Pasir Ris-Changi, dengan kerjasama Mendaki dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).

“Saya perhatikan dalam banyak pertandingan robotik peringkat kebangsaan, belia Melayu/Islam kurang diwakili.

“Selain itu, daripada interaksi saya dengan ramai belia Melayu/Islam, ramai yang tidak mengetahui atau tidak pernah berpeluang menyertai kegiatan robotik sebelum ini,” kongsi beliau, yang juga Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) bagi GRC Pasir Ris-Changi.

Menurutnya, kegiatan robotik seperti itu dapat membina keyakinan dalam kalangan pelajar untuk merebut peluang di sekolah bagi mengasah kemahiran yang diperlukan dalam bidang robotik dan pengekodan.

“Justeru, Robot Wars direka untuk meningkatkan kesedaran dan memberikan peluang kepada belia Melayu/Islam untuk mencuba bidang robotik.

“Jika mereka mendapati minat (dalam bidang tersebut), mereka boleh terus mengembangkannya sebagai sebahagian daripada pembangunan ilmu Stem, dan mudah-mudahan menjadikannya pilihan kerjaya pada masa hadapan,” ujar beliau.

Encik Sharael berkata demikian kepada Berita Harian (BH) selepas menghadiri program, Robot Wars, yang berlangsung selama sehari di Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias pada 14 September.

Diadakan buat julung-julung kalinya, program tersebut menghimpunkan 40 pelajar, berusia antara sembilan dengan 16 tahun, daripada pelbagai sekolah dan pertubuhan masyarakat.

Mereka termasuk pelajar daripada Rumah Kebajikan Muhammadiyah, Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Sekolah Rendah Temasek dan Sekolah Menengah Tanjong Katong.

Selain mengambil bahagian dalam bengkel, para pelajar juga membina, memprogram dan berlumba dengan robot, Smorphi, melalui teka laluan keliru yang dicipta untuk menguji kemahiran pengekodan dan kecerdasan buatan (AI) mereka.

Mereka juga bersaing menamatkan teka laluan itu sepantas mungkin sambil menggunakan sensor visual robot untuk mengutip ‘sampah’ melalui imbasan kod QR di beberapa sudut.

Menurut Encik Sharael, mereka dibimbing oleh sukarelawan daripada M³ @ Pasir Ris-Changi dan Rangkaian Profesional Mendaki dalam Kejuruteraan.

Pasukan daripada Madrasah Aljunied Al-Islamiah, yang terdiri daripada Shafiq Syafee Mirza Mazdi (dua dari kiri), Abdul Qoyyum Mustaqim Ade Candra (tengah) dan Muhammad Ehsaan Sulaiman (dua dari kanan), muncul juara bagi program ‘Robot Wars’ yang diadakan di Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias pada 14 September. Bersama mereka ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha (kiri) dan Profesor Madya di Pilar Pembangunan Produk Kejuruteraan di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Dr Mohan Rajesh Elara.
Pasukan daripada Madrasah Aljunied Al-Islamiah, yang terdiri daripada Shafiq Syafee Mirza Mazdi (dua dari kiri), Abdul Qoyyum Mustaqim Ade Candra (tengah) dan Muhammad Ehsaan Sulaiman (dua dari kanan), muncul juara bagi program ‘Robot Wars’ yang diadakan di Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias pada 14 September. Bersama mereka ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha (kiri) dan Profesor Madya di Pilar Pembangunan Produk Kejuruteraan di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Dr Mohan Rajesh Elara. - Foto MENDAKI

Pasukan daripada Madrasah Aljunied Al-Islamiah muncul juara program itu selepas berjaya mengimbas semua kod QR dalam teka laluan keliru itu dalam masa 122 saat.

Salah seorang anggota pasukan itu, Abdul Qoyyum Mustaqim Ade Candra, berkata dia rasa seronok kerana dapat bekerjasama dengan rakan sepasukan.

“Meskipun pengekodan agak mencabar, kegiatan ini memerlukan kerja berpasukan dan saya seronok bekerjasama dengan rakan-rakan saya,” ujar pelajar berusia 16 tahun itu.

Salah seorang anggota pasukan Rumah Kebajikan Muhammadiyah, yang hanya dikenali sebagai ‘Meerul’, teruja bertemu dengan juruteknik robotik semasa program itu.

“Melalui pertandingan ini, saya belajar bahawa saya perlu mempertingkatkan kemahiran Matematik serta menguasai kemahiran teknikal,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Sharael turut menggalak para peserta untuk terus meneroka bidang teknologi selepas program tersebut.

“Saya berharap program ini akan menimbulkan rasa ingin tahu mereka terhadap bidang Stem serta membina keyakinan bahawa mereka juga mampu melakukannya, dan memberi mereka peluang mengembangkan kemahiran ini,” kongsi beliau.

“Saya perhatikan dalam banyak pertandingan robotik peringkat kebangsaan, belia Melayu/Islam kurang diwakili. Selain itu, daripada interaksi saya dengan ramai belia Melayu/Islam, ramai yang tidak mengetahui atau tidak pernah berpeluang menyertai kegiatan robotik sebelum ini.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg