Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjawat awam hasrat perkukuh komunikasi pemerintah dengan biasiswa possiswazah MDDI

Buru ijazah Sarjana Sastera dalam Komunikasi Politik di Goldsmiths, Universiti London
Aug 14, 2025 | 1:35 PM
Singapura, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital, MDDI, biasiswa,  Majlis Biasiswa Keluarga MDDI, Agensi Keselamatan Siber, CSA, Agensi Teknologi Pemerintah, GovTech, Penguasa Pembangunan Infokom Media, IMDA, Lembaga Perpustakaan Negara, NLB
Sebagai penerima Biasiswa Possiswazah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) 2025, Encik Mohamad Heikel Kharsani, akan mengikuti kursus Sarjana Sastera dalam Komunikasi Politik di Goldsmiths, Universiti London pada September ini, sekali gus kembali ke bilik darjah selepas sekitar 14 tahun berkhidmat dalam sektor awam. - Foto BH oleh KHALID BABA

Daripada menyusun kenyataan media ke berhubung dengan wartawan, Encik Mohamad Heikel Kharsani, memainkan peranan penting dalam mengurus aliran maklumat antara pemerintah dengan media.

Berbekalkan pengalaman lebih 14 tahun berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam, beliau telah membantu membina kepercayaan dan pemahaman dalam kalangan orang ramai dengan menyampaikan dasar kompleks secara jelas dan berkesan.

“Perhubungan pemerintah adalah amat rumit kerana kesannya sangat besar.

“Mesej-mesej yang disampaikan harus bernuansa dan disesuaikan merentasi bahasa, tahap celik huruf dan demografi,” kongsi Encik Mohamad Heikel, yang telah meraih Pingat Kepujian pada 2021.

Kini, penjawat awam berusia 40 tahun itu berhasrat melangkah lebih jauh dalam memperkukuh kepakarannya dalam komunikasi pemerintah.

Atas pencapaiannya itu, beliau berjaya memperoleh tempat dalam kalangan sembilan penerima Biasiswa Possiswazah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) 2025.

Secara keseluruhan, seramai 81 individu menerima pelbagai biasiswa di bawah naungan MDDI yang disampaikan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, pada 12 Ogos.

Biasiswa tersebut meliputi pembiayaan perbelanjaan Encik Mohamad Heikel ke Britain untuk memburu ijazah Sarjana Sastera dalam Komunikasi Politik di Goldsmiths, Universiti London.

Ia meliputi yuran pengajian penuh, elaun perbelanjaan harian dan sebarang yuran wajib lain yang diperlukan untuk melengkapkan kursus pengajian.

Kursus selama setahun itu akan bermula pada September 2025.

Majlis penyampaian biasiswa dihadiri Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, selaku tetamu terhormat.

Berucap di acara tersebut, Encik Tan menekankan hasrat MDDI menjadi sebuah organisasi yang mahir dalam kecerdasan buatan (AI) dan berupaya secara digital untuk mengekalkan prestasi tinggi, kecekapan serta kepekaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Turut hadir ialah Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Biasiswa possiswazah yang dianugerahkan MDDI itu sebahagian daripada usaha bagi meningkatkan keupayaan profesional dan kepakaran khusus pegawai yang sedang berkhidmat.

Ini termasuk Encik Mohamad Heikel, yang berkhidmat di Jabatan Strategik Komunikasi dan Media di Kementerian Undang-Undang, serta memegang jawatan sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Undang-undang.

Mengulas tentang kursus pilihannya itu kepada Berita Harian (BH), anak bongsu dua beradik itu berkata ia membolehkan beliau menambah pengetahuan dan perspektif antarabangsa dalam komunikasi pemerintah.

“Saya amat tertarik dengan kurikulum yang ditawarkan kerana terdapat modul seperti ‘Struktur Komunikasi Politik Kontemporari’ yang akan membantu meluaskan perspektif saya tentang komunikasi pemerintah dan politik di luar Singapura.

“Ini dengan mempelajari lebih lanjut tentang modul tadbir urus Britain dan Amerika Syarikat, dan cara strategi politik memberi kesan kepada strategi komunikasi dan sebaliknya,” kongsi Encik Mohamad Heikel, yang masih bujang.

Beliau, yang meraih kepujian tertinggi dalam ijazah Sarjana Muda Pengajian Komunikasi dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berharap dapat meningkatkan keberkesanan komunikasi pemerintah dalam kerja hariannya dengan ilmu baru yang diperoleh.

“Setelah menamatkan pengajian, saya berhasrat untuk menggunakan mesej-mesej yang lebih jelas dan berkesan supaya rakyat Singapura dapat memahami dasar-dasar pemerintah dengan lebih baik.

“Mesej yang jelas juga dapat membantu merapatkan jurang, jika ada, antara pemerintah dengan rakyat, sekali gus mengukuhkan hubungan antara pemerintah dengan masyarakat,” ujar beliau.

Setelah menamatkan pengajian, saya berhasrat untuk menggunakan mesej-mesej yang lebih jelas dan berkesan supaya rakyat Singapura dapat memahami dasar-dasar pemerintah dengan lebih baik. Mesej yang jelas juga dapat membantu merapatkan jurang, jika ada, antara pemerintah dengan rakyat, sekali gus mengukuhkan hubungan antara pemerintah dengan masyarakat.
Encik Mohamad Heikel Kharsani, penerima Biasiswa Possiswazah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) 2025.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg