Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjual antik jual pasu pelanggan bernilai HK$1.8j, ganti dengan yang palsu

Mar 3, 2025 | 6:08 PM
Kuok Chio dijatuhi hukuman penjara 29 bulan pada 3 Mac selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan.
Kuok Chio dijatuhi hukuman penjara 29 bulan pada 3 Mac selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan. - Foto ST

Seorang penjual antik menjual pasu abad ke-18 milik seorang pelanggan bernilai lebih $300,000 tanpa kebenarannya, menggunakan wang itu untuk membayar hutang, dan menggantikannya dengan yang palsu.

Dia juga merosakkan sebuah lukisan kaligrafi pelanggan itu semasa cuba membersihkannya dan menggantikannya dengan salinan yang dicetak.

Kuok Chio, 42 tahun, dipenjara 29 bulan pada 3 Mac selepas dia mengaku bersalah bagi tiga tuduhan, termasuk pecah amanah dan penipuan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Jordon Li berkata Kuok mengendalikan Chinese Art Centre, yang menjalankan perniagaan jualan antik, lapor The Straits Times (ST).

Pada Oktober 2023, Kuok melawat tempat koleksi Dr Chan Chi Chin dan berkata ada pembeli berminat pada barang antik. 

Dr Chan, yang pernah membeli daripadanya, kemudian berkata beliau tidak mahu menjual koleksinya selepas isterinya berasa kurang selesa membenarkan Kuok menguruskan penjualan.

Beberapa hari kemudian, Kuok memberitahu Dr Chan dia akan ke Hong Kong dan meminta untuk membawa dua barang antik bagi dinilai.

Dr Chan membenarkan Kuok membawa pasu dari zaman Dinasti Qing pada abad ke-18, tetapi menegaskan ia tidak boleh dijual tanpa izinnya.

Kuok memberi cek $50,000 sebagai cagaran dan membawa pasu yang dianggarkan bernilai HK$1.8 juta ($312,300) itu ke Hong Kong. 

Oleh kerana Kuok mempunyai hutang antara $60,000 dengan $70,000, dia menjual pasu itu kepada pengedar antik pada harga $150,000.

Pada November 2023, Kuok menggantikan pasu tersebut dengan yang palsu dan memberikannya kepada Dr Chan. Tidak lama selepas itu, Dr Chan membuat laporan polis.

Enam bulan kemudian, Dr Chan mendapati sebuah lukisan kaligrafi yang dibersihkan oleh Kuok telah digantikan dengan salinan cetak.

Pada Jun 2021, Kuok menemui sebuah lukisan kaligrafi Dr Chan yang bernilai $18,000 dan menasihatkan agar ia dibersihkan secara profesional.

Dr Chan bersetuju dan membayarnya $2,700.

Pada Januari 2022, Kuok mengembalikan lukisan itu dalam tiub PVC dan memberitahu Dr Chan jangan membukanya kerana ia mengandungi gas nitrogen.

Pada Jun 2024, Dr Chan membawa lukisan itu untuk dibingkai semula dan diberitahu ia adalah palsu.

Kuok sebenarnya tidak tahu cara membersihkan lukisan tersebut dan belajar dari video dalam talian.

Dia merosakkan lukisan itu kerana tersalah campur bahan pembersih.

Dia kemudian mencetak salinan lukisan tersebut dan memberikannya kepada Dr Chan.

Mereka yang melakukan pecah amanah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun, didenda, atau kedua-duanya.

Jika disabitkan kesalahan menipu, pesalah boleh dipenjara hingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya.

Individu yang didapati bersalah memperoleh manfaat daripada perlakuan jenayah boleh dipenjara hingga 10 tahun, didenda hingga $500,000, atau kedua-duanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg