Menjual barangan di Facebook Marketplace, Carousell dan pasaran dalam talian yang lain? Berhati-hati dengan “pembeli”.
Mereka menyamar sebagai pembeli dan mengarahkan penjual ke laman palsu yang meminta penjual memasukkan butiran perbankan atau kad kredit untuk menerima pembayaran.
Dalam dua bulan pertama 2024, sekurang-kurangnya 419 individu menjadi mangsa penipuan pancingan data pembeli palsu di Facebook dan Carousell, kata Pasukan Polis Singapura (SPF). Jumlah kerugian: Lebih daripada $1.8 juta.
Facebook, Carousell dan SMS merupakan wadah paling biasa digunakan oleh penipu pancingan data untuk menghubungi bakal mangsa, dedah SPF dalam Butiran Penipuan dan Jenayah Siber 2023 yang diterbitkan pada Februari lalu.
Tanda-tanda penipuan tidak begitu jelas kerana pada awalnya ia kelihatan seperti transaksi yang tulus. Penjual beranggapan bahawa mereka akan menerima bayaran untuk barangan tersebut; dan dalam beberapa keadaan, pembeli membuat pengaturan penghantaran bagi barangan itu.
Memandangkan penipuan itu berlaku dalam konteks transaksi yang kelihatan biasa, bakal mangsa mungkin kurang berwaspada, kata Encik Jeffrey Chin, timbalan pengarah Pejabat Pendidikan Awam Penipuan, Jabatan Operasi, SPF.
“Penipu diketahui mengeksploitasi kelemahan dalam psikologi manusia,” jelasnya. “Kita mudah menjadi mangsa apabila kita tidak berjaga-jaga, mempunyai pemikiran ‘ia tidak akan berlaku kepada saya’ atau tidak mengambil langkah yang mencukupi untuk melindungi diri kita sendiri.”
Encik Chin menambah: “(Penipu) juga mungkin menggesa mangsa agar memberikan respons segera, jadi mangsa tidak mempunyai masa untuk memikirkan akibat buruk daripada tindakan mereka.”
Bagi menangani peningkatan dalam penipuan pancingan data pembeli palsu, jurucakap Carousell memberitahu The Straits Times bahawa pasaran dalam talian menggunakan model sains data untuk mengesan “keadaan berisiko tinggi dalam sembang” dan menghalang mesej dengan cepat atau menyekat pengguna yang mencurigakan.
Pengguna digalakkan mengekalkan perbualan mereka dalam aplikasi kerana platform itu mempunyai sistem mengesan tingkah laku penipuan, tambah jurucakap itu.
“Mereka juga boleh menggunakan butang ‘Beli’ (untuk pembayaran yang selamat di platform Carousell) supaya penjual dan pembeli tidak perlu bertukar maklumat peribadi atau pembayaran (semasa berurus niaga).”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg