Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penolong Naib Presiden OCBC akses baki akaun individu ternama

Jan 3, 2025 | 3:14 PM
Au Jia Hao, 39 tahun, telah dijatuhkan hukuman penjara 10 minggu pada 3 Januari, selepas dia mengaku bersalah terhadap satu tuduhan akses tidak sah ke atas bahan komputer.
Au Jia Hao, 39 tahun, telah dijatuhkan hukuman penjara 10 minggu pada 3 Januari, selepas dia mengaku bersalah terhadap satu tuduhan akses tidak sah ke atas bahan komputer. - Foto PIXABAY

Baru sebulan sejak memulakan tugas, seorang penolong naib presiden di Bank OCBC mula menyalahgunakan akses yang diberikannya atas sebab pekerjaan.

Ini dilakukan dengan menyemak baki akaun serta maklumat lain pelanggan bank – termasuk ahli politik Singapura, pempengaruh, rakan sekerja, teman, dan ahli keluarga.

Au Jia Hao, yang juga dikenali sebagai Ou Jiahao, 39 tahun, telah dijatuhkan hukuman penjara 10 minggu pada 3 Januari, selepas dia mengaku bersalah terhadap satu tuduhan akses tidak sah ke atas bahan komputer.

Selama lapan bulan – dari 8 November 2022 hingga 31 Julai 2023 – Au telah mengakses maklumat perbankan seramai 369 pelanggan OCBC secara haram.

Mahkamah diberitahu bahawa Au telah mula memegang jawatan sebagai Penolong Naib Presiden (Bahagian Perbankan Komersial Global OCBC) pada 12 Oktober 2022, dan diberikan akses kepada sistem perbankan OCBC atas sebab pekerjaan.

Namun, Au mula menyalahgunakan akses tersebut dengan meneliti nama, nombor Kad Pengenalan Singapura (NRIC), tarikh lahir, alamat, nombor telefon, baki akaun serta sejarah pendidikan dan profil pekerjaan individu yang tidak ada kaitan dengan pekerjaannya.

Au tidak mendedahkan maklumat tersebut kepada mana-mana pihak ketiga, dan mendakwa telah mengakses maklumat itu kerana rasa ingin tahu dan juga tekanan kerja.

Identiti ahli politik, pempengaruh dan individu lain yang telah diakses Au tidak didedahkan di mahkamah, lapor The Straits Times (ST).

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Colin Ng berkata Au telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sekitar Julai 2023, namun meneruskan kelakuan salahnya itu sehingga penghujung bulan itu.

Kelakuan haram Au diketahui pada 16 Ogos 2023 – selepas Jabatan Risiko dan Pencegahan OCBC mengesan bahawa dia telah mengakses maklumat seorang pegawai kanan OCBC.

Pegawai atasannya bersemuka dengan Au, dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.

Au dipecat pada 7 September 2023.

Peguam Au, Encik Kalidass Murugaiyan, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya menghidap kemurungan serta masalah kesihatan mental lain, dan telah menyesali tindakannya.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Wong Peck berkata Au telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai pekerja bank.

Dia berhenti melakukan sedemikian hanya selepas bank membuat pemeriksaan dalaman.

ST telah menghubungi OCBC untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bagi kesalahan akses tidak sah ke atas bahan komputer, Au boleh dipenjara hingga dua tahun dan didenda sehingga $5,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg