Apabila Penolong Pengurus Stesen SMRT, Encik Abdul Hadi Ngadino, diberitahu oleh rakan kerjanya bahawa seorang lelaki berusia 60-an tahun rebah di stesen Woodlands, beliau segera bergegas ke tempat kejadian.
Encik Hadi, 38 tahun, menepuk dan memanggil lelaki itu, namun beliau tetap tidak sedarkan diri dalam kejadian pada Februari itu.
Menyedari wajah lelaki itu mula berubah menjadi pucat, beliau terus melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kerana bimbang warna tersebut bakal menjadi biru – menandakan lelaki itu tidak lagi bernafas.
Selepas melakukan CPR selama lima minit, Encik Hadi berjaya menyedarkannya sebelum pasukan paramedik tiba.
Lelaki itu sempat mengucapkan “terima kasih” dengan suara yang lemah kepada Encik Hadi, sebelum dibawa pergi oleh anggota paramedik dengan pengusung.
Kejadian pada 24 Februari itu adalah pengalaman pertama Encik Hadi melakukan CPR.
Beliau menyertai SMRT pada 2021 dan bertugas di stesen Woodlands sejak Januari 2024.
Encik Hadi ialah salah seorang daripada 37 penerima Anugerah Cemerlang pada edisi ke-25 Anugerah Emas Pengangkutan – yang mengiktiraf kakitangan perkhidmatan pengangkutan atas khidmat cemerlang mereka – pada 27 November.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SMRT, Encik Ngien Hoon Ping, berkata kakitangan SMRT yang menerima anugerah itu menonjolkan empati luar biasa, kepantasan dalam membuat keputusan dan komitmen teguh untuk meningkatkan pengalaman penumpang.
Ketika ditanya oleh The Straits Times mengenai pengalaman beliau membantu individu dalam kecemasan, Encik Hadi berkata:
“Saya hanya menerapkan apa yang saya pelajari semasa latihan untuk membantu individu tersebut, kerana keutamaan kami sebagai (anggota) barisan hadapan ialah membantu orang lain.”
Beliau menambah: “Ini kali pertama saya memenangi anugerah dalam kehidupan dan kerjaya saya.
“Anugerah ini telah memberi semangat kepada saya untuk bekerja lebih keras dan menjadi teladan yang baik kepada rakan kerja saya.”
Encik Hadi turut menyingkap kejadian berasingan pada 12 April.
Ketika itu beliau sedang menamatkan syifnya pada kira-kira 10 malam apabila seorang lelaki berusia 40-an tahun menghampiri kaunter perkhidmatan penumpang di stesen Woodlands dan menyerahkan sebuah beg kertas besar kepadanya.
Lelaki itu berkata beliau menemui beg itu di stesen Sembawang.
Mengikut protokol, Encik Hadi memeriksa beg tersebut dan mendapati peta Myanmar berbingkai emas 24 karat bersaiz besar di dalamnya.
Mengesyaki barangan itu pasti bernilai tinggi, Encik Hadi segera menghubungi stesen Sembawang.
Beliau mendapati seorang lelaki telah membuat laporan mengenai kehilangan barang yang sepadan dengan peta berbingkai itu.
Kira-kira 30 minit kemudian, pemiliknya tiba di stesen Woodlands untuk menuntut peta tersebut.
Warga Myanmar yang bekerja di Singapura itu berkata peta tersebut adalah hadiah yang diterimanya di Myanmar dan kemudian dibawa ke Singapura.
Menurut Encik Hadi, beliau bertanya lelaki itu mengenai harga peta tersebut, namun lelaki itu enggan mendedahkannya.
“Saya dapat rasakan peta itu sangat bermakna buatnya,” tambah Encik Hadi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg